Noorazura Abdul Rahman


Yan: Kejadian serangan rejim Zionis terhadap penduduk Gaza mengubah semangat anak muda di negeri ini untuk menunjukkan solidariti dengan memasang bendera Palestin di penempatan masing-masing.

Di Kampung Padang Lumat, di sini, kira-kira 30 pemuda di kampung itu memasang enam bendera negara Palestin bersaiz lapan meter panjang dan tiga meter lebar di sepanjang terusan Wan Mat Saman.

Mohd Syazwan Mohd Khair, 34, berkata, kejadian serangan di wilayah itu mengubah sambutan perayaan di kampung berkenaan apabila tidak ramai penduduk yang membuat lemang sebaliknya bersatu hati menyiapkan bendera Palestin.

"Sebelum ini, anak-anak muda di kampung akan mengumpul duit untuk menyediakan 300 batang lemang sebelum diagihkan kepada penduduk kampung.

Seorang kanak-kanak melintasi bendera gergasi Palestin digantung di sepanjang terusan Wan Mat Saman di Kampung Padang Lumat sebagai tanda solidariti rakyat Malaysia susulan serangan tentera zionis Israel terhadap rakyat Palestin.  FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Seorang kanak-kanak melintasi bendera gergasi Palestin digantung di sepanjang terusan Wan Mat Saman di Kampung Padang Lumat sebagai tanda solidariti rakyat Malaysia susulan serangan tentera zionis Israel terhadap rakyat Palestin. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR

"Tetapi tahun ini, kami tak bakar lemang sebaliknya kami kumpul duit untuk beli kain dan jahit sebelum dipasang di pokok sepanjang terusan.

"Bendera ini dijahit golongan wanita tanpa mengambil upah kerana mereka mahu turut bersama-sama memberi sumbangan tenaga," katanya.

Mohd Syazwan berkata, setakat ini empat bendera Palestin bersaiz sama sudah dipasang manakala dua lagi akan dipasang tidak lama lagi.

Katanya, sebanyak RM600 berjaya dikumpul daripada penduduk kampung termasuk anak perantau yang tidak pulang ke kampung untuk menyediakan bendera itu pada awal Syawal.

"Selepas ini kami merancang untuk memasang bendera kecil Palestin yang dijahit sendiri, kami lakukan semua dengan seikhlas hati, disamping itu kami tidak lupa untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19.

"Kami tidak pasang bendera di tiang elektrik atau di tempat yang boleh mengganggu orang ramai, dan hanya tiga orang saja yang terbabit ketika proses memasang bendera," katanya.

Mohd Syazwan berkata, dia berharap usaha itu dapat meningkatkan rasa peduli rakyat negara ini kepada Palestin seterusnya memberi rasa semangat kepada mereka untuk terus membantu Palestin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Mei 2021 @ 2:35 PM