Saarani Mohamad
Saarani Mohamad
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Kerajaan Negeri Perak hari ini melancarkan Tabung Kemanusiaan Palestin bertujuan mengutip dana bagi membantu meringankan penderitaan rakyat Palestin yang menjadi mangsa kezaliman regim zionis Israel.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, buat permulaan Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak hari ini bersetuju menyediakan bantuan RM100,000 untuk disalurkan ke tabung berkenaan.

Katanya, ia disusuli sumbangan daripada syarikat milik kerajaan (GLC) negeri yang lain.

"Inisiatif ini juga akan dipanjangkan kepada jabatan dan agensi kerajaan, selain sektor swasta dan persendirian daripada seluruh negeri Perak.

"Tabung ini adalah tanda solidariti rakyat Perak tanpa mengira kaum dan agama dalam menyokong bantahan dunia terhadap kekejaman yang dilakukan terhadap rakyat Palestin," katanya pada sidang media secara maya selepas mempengerusikan Mesyuarat Kerajaan Negeri di sini, hari ini.

Saarani berkata, bagi memastikan bantuan berkenaan sampai kepada golongan sasar kerajaan negeri meminta bantuan Ahli Parlimen Parit, Datuk Nizar Zakaria untuk mengendalikannya.

"Kita meminta bantuan Datuk Nizar sebagai pemimpin yang terbabit aktif dalam misi kemanusiaan ke Palestin untuk berhubung terus dengan pihak berkuasa negara terbabit selain melalui bantuan pihak Wisma Putra," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Mei 2021 @ 4:52 PM