TINJAUAN di KLIA2 susulan dakwaan tiada SJR dijalankan untuk periksa individu cuba rentas sempadan selain tiada pemeriksaan terhadap borang kebenaran rentas sempadan dilakukan berikutan PKP yang dilaksanakan. FOTO Hairul Anuar Rahim
TINJAUAN di KLIA2 susulan dakwaan tiada SJR dijalankan untuk periksa individu cuba rentas sempadan selain tiada pemeriksaan terhadap borang kebenaran rentas sempadan dilakukan berikutan PKP yang dilaksanakan. FOTO Hairul Anuar Rahim
Samadi Ahmad


Sepang: Orang ramai yang pulang ke kampung halaman melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) perlu mengemukakan surat pelepasan perjalanan rentas negeri atau daerah yang diperolehi daripada pihak polis.

Tinjauan mendapati rata-rata penumpang yang ditemui di sini, memaklumkan mereka mempunyai surat kebenaran bagi memudahkan urusan ketika melalui Sekatan Jalan Raya (SJR) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk mendaftar masuk di kaunter berlepas KLIA.

Pelajar Universiti Islam Malaysia (USIM), Nur Alia Ahmad, 21, berkata, dia bersama tiga rakan dihantar menaiki kenderaan universiti ke KLIA2 dan menempuh satu SJR selepas plaza tol Serdang.

Katanya, perjalanan pulang ke kampung halaman di Kota Baharu, Kelantan berjalan lancar kerana pihak universiti menyediakan surat pelepasan perjalanan rentas negeri atau daerah.

"Kemudahan ini juga melancarkan daftar masuk kami di KLIA2 kerana setiap penumpang perlu mengemukakan surat pelepasan sebelum menaiki pesawat," katanya ketika ditemui di KLIA2 di sini, tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah (IPD) KLIA, Asisten Komisioner Imran Abd Rahman, berkata beliau menafikan anggota bertugas di SJR tidak melakukan pemeriksaan terhadap penumpang dan kenderaan yang menuju ke KLIA.

Menurut beliau, IPD KLIA melaksanakan satu SJR berhampiran Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bersempadan Bandar Enstek dan selebihnya bawah pentadbiran IPD Sepang.

Katanya, IPD KLIA turut menggerakkan SJR secara bergerak dan pemeriksaan rapi akan diadakan bagi setiap individu yang ingin merentas negeri atau daerah menggunakan pesawat dengan tanpa surat kebenaran.

"Polis turut bekerjasama dengan pihak keselamatan KLIA untuk memeriksa surat kebenaran penumpang sebelum menaiki pesawat dan sekiranya didapati ingkar tindakan akan diambil.

"Setakat ini tiada kes membabitkan ingkar arahan cuba merentas daerah atau negeri menggunakan pintu masuk KLIA dan semuanya dalam keadaan terkawal dalam menangani pandemik Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Mei 2021 @ 4:36 PM