PETUGAS membuat persiapan menerima pesakit Covid-19 di SUKPA, Indera Mahkota. FOTO Mohd Rafi Mamat
PETUGAS membuat persiapan menerima pesakit Covid-19 di SUKPA, Indera Mahkota. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Kompleks Sukan Pahang (SUKPA), Indera Mahkota, di sini diaktifkan semula, hari ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, keputusan itu dibuat selepas dua pusat kuarantin yang dibuka sebelum ini sudah mencapai kapasiti maksimum.

Menurutnya, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid-19 Pahang sebulat suara bersetuju untuk pengoperasian semula pusat itu bagi menampung jumlah pesakit Covid-19 yang berisiko rendah dan tidak memerlukan rawatan khusus.

"Pembukaan PKRC SUKPA ini dapat memberi keselesaan kepada pesakit memandangkan kerajaan negeri sudah menetapkan bahawa semua pusat kuarantin yang beroperasi perlu mengasingkan antara pesakit lelaki dan wanita bagi mengelakkan risiko lain yang tidak diingini.

"Jadi, pihak kita sedang mempersiapkan semua keperluan dan kelengkapan di PKRC SUKPA dan dijangka bersedia menerima kemasukan pesakit petang ini," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Beliau memaklumkan 250 katil atau tempat disediakan dan hanya pesakit lelaki sahaja dikuarantin di pusat kuarantin berkenaan.

Jelasnya, semua urusan lain termasuk penyediaan makanan dan keperluan lain untuk pesakit akan dilakukan semua agensi seperti yang dipertanggungjawabkan oleh kerajaan Pahang.

Che Adam berkata, sebelum ini dua pusat kuarantin yang beroperasi iaitu Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Kuantan menempatkan 228 pesakit manakala Institut Latihan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (i-KPKT) di Bukit Tinggi dengan kapasiti semasa berjumlah 119 pesakit.

"Namun kedua PKRC ini sudah hampir mencapai kapasiti maksimum," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Mei 2021 @ 4:52 PM