Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Seramai 18 anggota tentera dibantu seorang pegawai bertugas mengawal pergerakan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Pahang (Sukpa), Indera Mahkota, di sini.

Pegawai Memerintah 12 Rejimen Askar Melayu Diraja (Mekanize), Leftenan Kolonel Hafiz Sulaiman berkata, pihaknya diberi tanggungjawab membantu Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang dalam mengawal pergerakan keluar masuk dalam kawasan PKRC secara berterusan 24 jam.

Katanya, pihaknya turut diberi tanggungjawab memasang kawat berduri di kawasan seluas 10 kilometer (km) persegi yang dilakukan 31 anggota pasukan 12 Rejimen Askar Melayu Diraja (Mekanize).

Menurutnya, kerja pemasangan kawat berduri bermula 11 malam kelmarin dan mengambil masa 12 jam untuk siap sepenuhnya.

"Empat Briged (Mekanize) diberi tanggungjawab untuk membantu Kerajaan Pahang menubuhkan pusat isolasi pandemik di Kompleks Sukpa.

"Kita akan berusaha menjalankan tugas dengan sebaik mungkin dalam melancarkan lagi pengurusan PKRC yang pertama di negeri ini," katanya, dihubungi di sini semalam.

Beliau berkata, PKRC kompleks Sukpa menempatkan pesakit bukan warga negara berisiko rendah dan tidak memerlukan rawatan khusus.

Hafiz berkata, pihaknya sentiasa menjaga keselamatan semua anggota yang bertugas, mereka perlu menjalani pemeriksaan kesihatan dari semasa ke semasa sepanjang bertugas di PKRC.

ANGGOTA tentera memasang kawat berduri di PKRC Sukpa, Indera Mahkota. FOTO Mohd Rafi Mamat
ANGGOTA tentera memasang kawat berduri di PKRC Sukpa, Indera Mahkota. FOTO Mohd Rafi Mamat

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Disember 2020 @ 11:15 AM