Arjunaidi pada sidang media di IPK Selangor. FOTO Bernama
Arjunaidi pada sidang media di IPK Selangor. FOTO Bernama
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Kertas siasatan berhubung guru didakwa mengeluarkan kata-kata tidak wajar ketika melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) sudah diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP).

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya kini menunggu maklum balas daripada DPP untuk tindakan seterusnya.

"Kertas siasatan sudah lengkap dan dihantar kepada DPP. Kita tunggu apa keputusannya," katanya ringkas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas ditanya berhubung perkembangan kes guru mata pendidikan jasmani di sebuah sekolah didakwa bergurau keterlaluan apabila menggalakkan pelajarnya melakukan perbuatan merogol.

Sebelum ini, polis menerima dua laporan polis daripada seorang pelajar perempuan sekolah menengah berusia 17 tahun berhubung perkara tersebut.

Sementara itu, Kementerian Pendidikan dalam kenyataannya pagi tadi memberitahu, guru yang didakwa membuat lawak keterlaluan itu ditempatkan di Jabatan Pendidikan Negeri Selangor sehingga siasatan berhubung perkara itu selesai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Mei 2021 @ 4:30 PM