Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Pemandu lori didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh seorang wanita yang mayatnya ditemukan terbakar di tepi jalan pada 17 April lalu.

Tertuduh, Badrul Hisham Mat Jusoh, 37, dari Bukit Payong, Marang mengangguk faham selepas pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dibacakan di hadapan Majistret Nordiana Abd Aziz.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Che Janiah Jaafar, 55, di Kilometer 16, Jalan Kelantan, Kampung Padang Air di sini, antara 9.30 malam hingga 7.15 pagi pada 16 dan 17 April lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman gantung sampai mati, jika disabitkan kesalahan.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan sebelum Nordiana menetapkan 20 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nabihah Hanin Ayim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Media sebelum ini melaporkan seorang tukang sapu menemui mayat tanpa identiti yang terbakar di tepi jalan di Kampung Padang Air.

Kejadian itu disedari lelaki terbabit ketika mahu memulakan tugasnya di lokasi berkenaan pada 7.15 pagi sebelum ternampak asap di dalam semak berhampiran.

Badrul Hisham dibawa keluar dari Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu hari ini, selepas didakwa membunuh seorang wanita yang mayatnya ditemukan terbakar. Foto Ghazali Kori
Badrul Hisham dibawa keluar dari Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu hari ini, selepas didakwa membunuh seorang wanita yang mayatnya ditemukan terbakar. Foto Ghazali Kori

Berita berkaitan

Mayat wanita terbakar: 'Kami yakin siasatan polis, kenal pasti pembunuh'

Keluarga reda, harap pelaku dikenakan tindakan setimpal

Mayat terbakar disahkan wanita dilaporkan hilang

2 lelaki ditahan bantu siasatan kes mayat terbakar

Misteri mayat tepi jalan: Mangsa dibunuh sebelum dibakar

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Mei 2021 @ 10:26 AM