Mohd Amin Jalil


SEBANYAK 387,000 tempat kediaman di Negeri Sembilan dengan 1.16 juta penduduk akan terbabit dalam Bancian Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020) yang bermula Selasa lalu hingga 24 Oktober depan.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Razali Ab Malik berkata, ia dijalankan dalam dua fasa berikutan pandemik Covid-19 yang melanda negara.

Katanya, fasa pertama pembancian bermula dari 7 Julai hingga 30 September ini membabitkan mod pembancian pengisian soal selidik secara dalam talian, e-Census.

"Daripada keseluruhan jumlah kediaman itu, lebih 69,000 akan menerima poskad MyCensus untuk pelaksanaan banci fasa pertama bagi membolehkan isi rumah mengisi soal selidik secara dalam talian.

GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.

"Bagi isi rumah yang tidak menerima poskad itu, mereka boleh membuat pra-pendaftaran secara atas talian untuk mendapatkan maklumat ID bagi mengakses Sistem e-Census, https://ecensus.mycensus.gov.my/.

"Maklumat asas seperti nama, emel dan alamat lengkap diperlukan ketika membuat pendaftaran," katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Wisma Negeri, Seremban, hari ini.

Mengulas lanjut, Razali berkata, operasi pembancian fasa kedua secara bersemuka akan dilaksanakan dari 7 hingga 24 Oktober ini.

Beliau berkata, pihaknya amat menggalakkan orang ramai menyalurkan maklumat yang diperlukan dalam Banci 2020 secara dalam talian, namun bagi penduduk yang tidak mahir dengan cara itu, mereka akan dibanci menerusi kaedah bersemuka.

"Data yang dikumpul melalui banci ini bakal memberi manfaat kepada segenap rakyat dan lapisan masyarakat kerana boleh digunakan oleh pihak kerajaan untuk membuat perancangan dan polisi yang berpaksikan rakyat," katanya.

Menurutnya, terdapat 3,930 jawatan kosong pembanci di Negeri Sembilan membabitkan pengambilan penyelia serta pembanci dan permohonan boleh dibuat secara dalam talian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2020 @ 3:46 PM