SHAMSUN Baharin (tiga dari kanan) ketika gimik pelancaran Pelan Antirasuah MPT 2020-2024. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri.
SHAMSUN Baharin (tiga dari kanan) ketika gimik pelancaran Pelan Antirasuah MPT 2020-2024. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri.
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


SEBANYAK 1,871 maklumat rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa membabitkan pihak berkuasa tempatan (PBT) diterima dalam tempoh lima tahun ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Shamsun Baharin Mohd Jamil berkata, laporan bermula 2014 hingga 12 Disember lalu yang menyaksikan 126 kertas siasatan dibuka.

Katanya, daripada itu, 73 individu ditahan untuk siasatan bagi tuntutan palsu, salah guna kuasa dan penyelewengan, malah 52.7 peratus atau 2,740 maklumat kes membabitkan penjawat awam berusia 40 tahun ke bawah.

“Fokus kita adalah membantu agensi yang berkenaan dalam menangani masalah ini yang rata-ratanya membabitkan golongan muda.

“Untuk itu kita perlukan komitmen semua termasuk PBT dalam mentransformasikan agensi kepada organisasi berintegriti tinggi dan bebas rasuah melalui rujukan lengkap bagi semua warga organisasi tanpa mengira pangkat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada pelancaran Pelan Antirasuah Majlis Perbandaran Taiping (MPT) 2020-2024 di Wisma Perbandaran Taiping, hari ini.

Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT) Borhan Abdul Halim; Pegawai Daerah Larut Matang dan Selama, Mohamed Akmal Dahalan dan Ketua Unit Integriti Pejabat Setiausaha Kerajaan negeri, Nurul Jaswa Abd Hamid.

MPT muncul sebagai PBT pertama dalam kalangan 149 PBT di Malaysia yang membangunkan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) tersendiri dalam usaha memerangi gejala rasuah secara komprehensif.

Mengulas inisiatif MPT, Shamsun Baharin berkata, ia cerminan komitmen dan sokongan warga MPT dalam memerangi rasuah, malah secara tidak langsung menjadi pembakar semangat kepada SPRM untuk terus berjuang dalam hal itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Disember 2019 @ 3:47 PM