Zulkifli (tiga dari kiri) beramah mesra bersama orang bukan islam yang menghadiri Majlis Berbuka Puasa Bersama Orang Bukan Islam anjuran Masjid Arraudah Taman Rasa Sayang (TRS), Senawang. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Zulkifli (tiga dari kiri) beramah mesra bersama orang bukan islam yang menghadiri Majlis Berbuka Puasa Bersama Orang Bukan Islam anjuran Masjid Arraudah Taman Rasa Sayang (TRS), Senawang. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Mohd Khidir Zakaria


Seremban: Majlis berbuka puasa di masjid jarang dihadiri orang bukan Islam tetapi berlainan dengan sebuah masjid di daerah ini yang turut menjemput golongan bukan Islam untuk berbuka puasa bersama-sama setiap hari.

Acara harian Majlis Berbuka Puasa Bersama Orang Bukan Islam sepanjang Ramadan ini dianjurkan pengurusan Masjid Arraudah Taman Rasa Sayang (TRS) di sini.

Program dengan kerjasama Pejabat Agama Islam Daerah Seremban dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di taman itu turut disertai seramai 30 individu berbangsa India dan Cina yang tinggal di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi.

Ketua program, Zulkifli Muhamed berkata, penganjuran program itu antara lain bagi memberi gambaran lebih dekat bagaimana amalan berpuasa orang Islam sekaligus menunjukkan sifat keramahan Islam.

"Bagi saya majlis sebegini boleh menjadi perantara sangat baik bagi menjalinkan hubungan kejiranan dan kasih sayang tanpa mengira agama selain memberi gambaran sebenar terhadap sifat keramahan Islam.

"Apa yang menariknya ada dalam kalangan orang bukan Islam yang dijemput ini turut sama berpuasa semata-mata bagi merasai perasaan rakan mereka yang berpuasa dan secara tidak langsung mereka menghormati bulan Ramadan," katanya.

Menurutnya, penganjuran program sebegitu dapat memberi lebih kefahaman kepada orang bukan Islam bagaimana cara ibadat orang Islam sekaligus dapat menghilangkan rasa keraguan.

Malah kata Zulkifli, bulan Ramadan adalah antara waktu paling terbaik untuk memperkukuhkan lagi keharmonian antara kaum.

"Itulah indahnya bulan Ramadan yang tiada pada bulan lain dan ada orang yang mungkin sudah biasa berbuka puasa dengan rakan bukan Islam, tapi bila adanya majlis khas sebegini ia menjadikan hubungan itu lebih dekat dan mesra malah saling menghormati," katanya.

Bagi penduduk, A Murthi, 65, berkata, sudah menjadi amalannya sejak 15 tahun lalu, untuk berpuasa penuh setiap kali Ramadan.

Katanya, tiada sesiapa yang mendorongnya untuk berpuasa melainkan kemahuan hatinya sendiri selepas tertarik melihat rakan sekerjanya yang beragama Islam berpuasa.

"Ramai rakan beragama Islam di kilang saya bekerja. Bagi menghormati mereka yang sedang berpuasa, saya tidak makan di hadapan rakan-rakan.

"Dengan berpuasa saya rasa badan lebih sihat dan tiada sebarang penyakit, mungkin itu kelebihannya (berpuasa)," katanya.

Sementara itu Chew Wei Ling, 40, berkata, dia memilih untuk cuba merasai pengalaman berpuasa pertama kali.

Ujarnya, dia turut berbangga dengan masyarakat Islam yang dapat menjalani ibadah puasa selama 30 hari tanpa masalah.

"Biasanya saya akan makan banyak kali dalam sehari tetapi kerana nak meraikan jemputan penganjur kepada kaum Cina dan India ke majlis ini, saya cuba berpuasa, sekadar nak merasai bagaimana berlapar seperti orang Islam.

"Waktu sahur saya makan nestum dan biskut dan ia agak memenatkan. Tetapi saya gembira kerana mampu bertahan sehingga tiba waktu berbuka. Baru saya faham bagaimana seronoknya berpuasa.

"Terima kasih juga kepada pihak penganjur yang menjemput kami (bukan Islam) untuk berbuka puasa bersama dan dalam masa yang sama mempereratkan silatulrahim," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Mei 2021 @ 4:41 PM