Yusmizal Dolah Aling dan Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Netizen kita melampau. Itu kesimpulan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin susulan komen jelek tercetus berhubung isu pendedahan jenaka rogol membabitkan seorang pelajar, baru-baru ini.

Menurutnya, komen tanpa sempadan dan penggunaan kata-kata yang tidak sepatutnya seolah-olah sudah menjadi budaya baharu di negara ini sehingga ia dilakukan secara berleluasa.

Untuk itu, katanya, pihaknya akan menggunakan peruntukan sedia ada untuk membendung sikap sedemikian demi manfaat bersama.

"Di Malaysia ini memang ada undang-undang berkaitan, tetapi selalunya tidak ada tindakan.

"Kalau boleh kita mahu bersikap terbuka, tetapi lama-kelamaan mereka ini semakin melampau.

"Kutuk pemimpin, istana, raja, mempermainkan soal sakit dan mati, ini tidak sepatutnya berlaku.

"Berbanding di luar negeri yang lebih tegas dan ketat, kita tidak mahu sikap terbuka kerajaan diambil kesempatan oleh netizen. Sampai masanya kita akan bertindak berdasarkan laporan yang diterima," katanya kepada Harian Metro.

Zahidi berkata, mengambil contoh di Thailand yang terkenal dengan ketegasan dalam isu mengkritik pemimpin dan raja, kementeriannya akan mengambil tindakan sewajarnya termasuk perbuatan memalukan orang lain sama ada di hantaran media sosial mahu pun komen.

Katanya, tindakan menjatuhkan maruah seseorang melalui apa cara sekali pun tidak boleh diterima dan dibiarkan sama sekali.

ZAHIDI. FOTO Arkib NSTP
ZAHIDI. FOTO Arkib NSTP

Sebelum ini, seorang pelajar perempuan memuat naik video mendedahkan seorang guru di sebuah sekolah yang didakwa membuat jenaka rogol ketika sesi pembelajaran.

Ia dikongsikan di aplikasi TikTok dan mengundang kemarahan orang ramai berhubung kejadian itu.

Bagaimanapun, ramai juga yang mengutuk pelajar berkenaan dengan menggunakan perkataan tidak sesuai menerusi ruangan komen.

Sementara itu, pakar kriminologi bebas Datuk Shahul Hamid Abd Rahim berkata, tindakan penguatkuasaan berterusan adalah perlu bagi memastikan tiada dorongan jenayah berlaku.

Katanya, pada pandangan biasa sesuatu komen itu dianggap tidak memberi kesan namun ia akan berlaku sebaliknya jika seseorang itu memendam perasaan akibat kutukan diterima.

"Apabila berlaku tekanan perasaan yang hebat, ia akan mendorong seseorang itu mengambil tindakan sendiri seperti mencederakan sama ada diri sendiri atau orang lain.

"Di sinilah sesuatu tindakan jenayah akan mengambil tempat. Jadi saya nasihatkan kepada netizen, setiap komen mengenai apa isu sekalipun, biarlah berpada-pada," katanya.

Berperwatakan alim, tetapi cukup galak memuat naik komen

Mereka sepatutnya menjadi pelindung atau rujukan kepada murid atau pelajar untuk setiap masalah yang dihadapi.

Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila golongan pendidik, kaunselor selain fasilitator turut memuat naik komen jelek penuh nafsu.

Semuanya gara-gara pendedahan seorang pelajar berkaitan 'jenaka rogol' yang dibuat seorang guru, baru-baru ini.

Pemerhatian wartawan di ruangan komen media sosial mendapati ada guru yang memberikan komen 'bernafsu' terhadap pelajar berkenaan.

Frasa seperti 'meleleh air liur...' dan 'kalau dah seksi sangat...' antara yang diguna individu bergelar guru di Facebook (FB).

Pemerhatian turut mendapati terdapat lebih 20 komen berunsur jelek daripada individu berbeza yang secara terbuka berkongsi perasaan dan penilaian mereka terhadap fizikal pelajar perempuan itu selepas isu terbabit tular di media sosial.

Semakan profil di FB pula menunjukkan ada yang berstatus ibu serta berperwatakan alim cukup galak memuat naik komen sehingga ditegur netizen lain yang membalas reaksi sebegitu.

Timbul persoalan, apakah rakyat negara ini sudah hilang sifat waras dan pertimbangan sehingga tanpa segan silu menggunakan media sosial untuk memalukan, mengutuk serta mempersenda orang lain secara terbuka.

Lebih malang ia dilakukan oleh mereka yang diberikan amanah untuk sama-sama menjaga pelajar dan memainkan peranan sebagai ibu bapa.

'Jangan cemari imej mulia pendidik'

"Menghamburkan komen jelik serta berunsur lucah bukan karektor seorang pendidik, jangan cemari imej mulia pendidik."

Itu luahan Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berhubung tindakan segelintir warga pendidik yang gemar meninggalkan komen jelik di hantaran laman sosial.

"Perkara berkenaan tidak sepatutnya berlaku, tambahan pula kita berada dalam bulan Ramadan yang mengajar manusia untuk menahan diri daripada segalanya," katanya.

Menurutnya, pendidik mempunyai ciri yang lebih baik kerana mereka menjadi model ikutan untuk komuniti, masyarakat serta anak murid.

"Guru ini mempunyai karektor yang tersendiri, mereka perlu memberikan contoh terbaik kepada orang sekeliling mereka. Dalam isu ini, keadaan itu tidak berlaku.

"Malah, lebih memalukan apabila ada segelintir dalam kalangan mereka yang meninggalkan komen berunsur lucah, jelik dan sebagainya sehingga mencemari imej guru secara keseluruhan.

"Saya lihat ada segelintir mereka umpama tidak mampu untuk menahan diri menzahirkan sesuatu dan penzahiran mereka pula begitu jelik," katanya.

DR Mohamad Ali. FOTO Arkib NSTP
DR Mohamad Ali. FOTO Arkib NSTP

Beliau berkata, PIBGN mendesak jabatan berkaitan terutamanya Pejabat Pendidikan Daerah untuk melaksanakan siasatan rapi berhubung isu berkenaan supaya tindakan boleh diambil.

Menurutnya, tindakan itu perlu dibuat sebagai teladan untuk pendidik lain supaya tidak sewenangnya memuat naik sesuatu pandangan yang disifatkan sebagai tidak tepat pada norma masyarakat.

"Saya yakin ramai dalam kalangan guru adalah umat Islam dan mereka tentunya faham berhubung peri pentingnya menahan diri daripada menuruti nafsu.

"Untuk itu, saya cadangkan kepada pendidik berkenaan supaya mengemukakan permohonan maaf secara terbuka untuk menjernihkan keadaan.

"Jika seseorang itu memohon maaf, ia tidaklah bermakna merendahkan martabat seseorang tetapi menunjukkan betapa tingginya akhlak individu berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Mei 2021 @ 12:00 PM