Warga Program Perumahan Rakyat (PPR) Pinggiran Bukit Jalil beramai-ramai datang mengambil ikan yang diagihkan oleh Mohd Rozman Zahari. FOTO Mohd Rozman Zahari
Warga Program Perumahan Rakyat (PPR) Pinggiran Bukit Jalil beramai-ramai datang mengambil ikan yang diagihkan oleh Mohd Rozman Zahari. FOTO Mohd Rozman Zahari
Hajar Umir Md Zaki


Kuala Lumpur: Lebih 70 warga Program Perumahan Rakyat (PPR) Pinggiran Bukit Jalil, di sini, menerima sumbangan lebih 150 kilogram ikan segar yang diagihkan oleh seorang lelaki yang pernah mendiami PPR berkenaan, Khamis lalu.

Lelaki terbabit, Mohd Rozman Zahari, 36, berkata, dia sendiri pernah merasai kesusahan hidup dan ramai orang membantu dia untuk bangun menghadapi kehidupan.

"Saya tidak mahu orang yang susah berputus asa dan tahu mereka tidak keseorangan dalam menghadapi kesukaran hidup.

"Saya agihkan di Blok B PPR berkenaan kerana pernah mendiami di blok berkenaan dan minta jiran-jiran lama untuk bantu sebarkan berita kepada blok lain.

"Saya percaya kita perlu membantu orang yang kita kenal terlebih dahulu kerana selain berkongsi rezeki, kita juga dapat menyambung silaturrahim," katanya yang menampung hidup dengan bekerja sebagai pembekal dan pemborong barangan 'bundle' dan hasil laut.

Menurutnya, dia dan pasukannya mengambil masa kira-kira sejam untuk mengagihkan ikan berkenaan kepada warga penduduk terbabit.

"Saya agihkan dua jenis ikan iaitu 90 kilogram ikan temenung dan 80 kilogram ikan cencaru buat mereka, namun saya cakap lebih daripada 150 kilogram.

"Alhamdulillah, mereka terkejut dan gembira bila mendapat tahu saya sedekahkan ikan buat mereka," katanya.

Mohd Rozman berkata, warga penduduk PPR Pinggiran Bukit Jalil mempunyai semangat kejiranan yang tinggi dan mengambil berat jiran mereka.

"Saya suka kerana mereka sayangkan jiran tetangga, jadi saya minta tolong mereka untuk ambil dan agihkan kepada jiran-jiran yang lain juga," katanya.

Menurutnya, dia gembira kerana dapat berkongsi rezeki dan melihat warga penduduk ceria menjadikannya lebih bersemangat untuk meneruskan usaha seperti ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 April 2021 @ 6:30 PM