NICKY Liow Soon Hee. FOTO Arkib NSTP
NICKY Liow Soon Hee. FOTO Arkib NSTP
Asrol Awang

Kuantan: Kerajaan Pahang mengumumkan gelaran Datuk Seri dikurniakan kepada ahli perniagaan dalam buruan, Nicky Liow Soon Hee ditarik balik dan dibatalkan.

Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak berkata, turut ditarik balik dan dibatalkan kurniaan Datuk kepada adik Nicky Liow, Liow Wei Loon.

Katanya, penarikan darjah kebesaran Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri dan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk itu berkuatkuasa pada 21 April lalu.

"Penarikan darjah kebesaran itu sebagai menjunjung titah perintah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Dengan ini dimaklumkan Anugerah Darjah Kebesaran Negeri Pahang Darul Makmur kepada penama ditarik balik dan dibatalkan serta merta," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, penama tidak dibenarkan memakai sebarang gelaran dikurniakan dan perlu mengembalikan darjah kebesaran yang dikurniakan sebelum ini.

"Darjah itu perlu dikembalikan kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang selaras dengan Undang-Undang Darjah-Darjah Kebesaran dan Bintang-Bintang Negeri Pahang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 April 2021 @ 4:46 PM