Mohideen Abdul Kader
Mohideen Abdul Kader
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan Kedah mengambil tindakan menghentikan segera aktiviti pembalakan di Bukit Kerawai, daerah Sik kerana mengancam sumber bekalan air.

Presidennya Mohideen Abdul Kader berkata, CAP kesal dan bersimpati dengan nasib kira-kira 200 penduduk di kawasan terbabit kerana terpaksa menggunakan air berlumpur dari kawasan pembalakan berkenaan.

Menurutnya, pihaknya percaya sekiranya aktiviti pembalakan itu berterusan, mungkin keadaan lebih buruk akan berlaku terutama ketika musim hujan pada masa ini.

"Pencemaran sisa lumpur yang dihadapi oleh penduduk berkenaan bukan saja boleh menjejaskan kesihatan mereka, tetapi turut mengancam sistem saliran dan kawasan pertanian seperti berlaku di Kupang, Baling.

"Kejadian banjir lumpur dan kemusnahan harta benda penduduk boleh berlaku jika tiada tindakan tegas dan segera diambil," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Difahamkan, masalah itu membabitkan penduduk di Kampung Kerawai dan Kampung Tanah Liat.

Mohideen berkata, CAP hairan mengenai kelulusan yang diberi kerajaan negeri Kedah terhadap kerja pembalakan di kawasan itu tanpa mengkaji kesan ke atas alam sekitar dan sosioekonomi penduduk tempatan.

"Kita mahu Jabatan Perhutanan Kedah, Pejabat Daerah Sik, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Syarikat Air Darul Aman (SADA) menjalankan siasatan terhadap masalah itu sekali gus mengatasinya.

"Penduduk terbabit berhak mendapatkan bekalan air bersih bagi menjamin kesihatan mereka serta dapat menjalani kehidupan lebih selesa pada masa akan datang.

"Justeru, CAP akan menulis surat kepada kerajaan Kedah supaya masalah ini diberi perhatian serius dan berharap ia tidak berulang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 April 2021 @ 5:59 PM