GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Kerajaan negeri Kedah digesa supaya mengambil tindakan segera bagi menghentikan aktiviti pembalakan dan kuari pasir di Bukit Kachi, Sintok kerana dibimbangi menjejaskan alam sekitar serta mengancam kehidupan penduduk.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) Mohideen Abdul Kader berkata, pihaknya kesal kerana aktiviti yang boleh menimbulkan kesan buruk ke atas alam sekitar itu dibenarkan beroperasi.

Menurutnya, jika keadaan itu dibiarkan, alam sekitar di kawasan berkenaan akan terancam dengan lebih serius pada masa akan datang.

"Hakisan tanah dari bukit berkenaan boleh menyebabkan saliran dan sungai menjadi cetek.

"Tanah pertanian berhampiran mungkin terjejas akibat mendapan lumpur dan begitu juga harta benda penduduk akan musnah jika tidak ditangani segera," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Terdahulu media melaporkan mengenai kebimbangan kira-kira 200 penduduk mengenai aktiviti pembalakan, pembukaan tanah pertanian dan perlombongan kuari pasir di Bukit Kachi.

Keadaan itu menyebabkan kejadian banjir kilat semakin serius selepas hujan lebat yang membawa bersama pasir, tanah dan sisa kayu balak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Mei 2021 @ 5:23 PM