GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Kota Kinabalu: Dua penjawat awam negeri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah berhubung perbuatan menukar status tanah di Kampung Bantayan dekat sini, daripada zon 'countryside' kepada 'residential', dua tahun lalu.

Tertuduh Athanasius John Malis, 58, didakwa dengan tiga pertuduhan rasuah antara September dan November 2019 bagi menukar status tanah lot itu tanpa kebenaran daripada Lembaga Pusat Perancang Bandar dan Desa, dan kelulusan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu.

Dia didakwa meminta suapan RM15,000 di tingkat bawah Kompleks Karamunsing Jalan Tunku Abdul Rahman di sini pada 9.50 pagi, 5 September 2019, mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Tertuduh juga didakwa menerima rasuah RM15,000 lagi berkaitan perbuatan menukar status lot tanah tersebut dalam sebuah kereta di lot kawasan meletak kenderaan Wisma Tun Fuad Stephen pada 8.30 pagi, 12 September 2019.

Athanasius juga dituduh menerima suapan wang tunai sebanyak RM45,000 membabitkan perbuatan sama di dalam sebuah kereta di kawasan lot meletak kenderaan medan selera D'Riverside, Sadong Jaya pada 11.25 pagi, 20 November 2019.

Bagi dua pertuduhan berkenaan, dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Seorang lagi tertuduh Shahrum Radzlee Samlih, 38, didakwa secara rasuah memperoleh satu suapan wang tunai bernilai RM22,500 daripada Athanasius sebagai upah untuk menandatangani surat pengesahan penukaran status tanah berkenaan.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di dalam sebuah kereta di lot meletak kenderaan medan selera Grace Point, Jalan Pantai Sembulan di sini antara 3.15 petang hingga 3.45 petang, 20 November 2019.

Shahrum Radzlee didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi.

Hakim Abu Bakar Manat membenarkan Athanasius diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin dan sebutan kes pada 24 Mei ini, manakala Shahrum Radzlee diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Mei bagi sebutan kes.

Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai SPRM Clementine Severinus manakala Athanasius diwakili oleh peguam PJ Perira dan Shahrum Radzlee diwakili peguam Nabila Norsahar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 April 2021 @ 4:19 PM