Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Walaupun pergerakan terbatas akibat serangan strok sejak empat tahun lalu yang menyebabkannya lumpuh sebelah tubuh, seorang anggota bomba tetap tenang mengalunkan azan, hari ini.

Biarpun dilihat menahan perit kerana berdiri, Nor Azuan Ali@Razali, 42, dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu, tetap bersemangat memperdengarkan alunan azannya ketika pertandingan azan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan kerjasama Biro Kebajikan dan Kebudayaan (MASKAB) yang dijalankan secara dalam talian.

Mengakui pendedahan sebagai bilal sejak remaja apabila kerap 'dipaksa' mengalunkan azan di surau dan masjid di kampung, dia yang sudah 20 tahun berkhidmat sebagai anggota bomba terus mempraktikkan kelebihan itu ketika berjemaah di balai bomba.

Paling membanggakan, percubaannya secara suka-suka dalam pertandingan sama pada enam tahun lalu mencatat sejarah apabila muncul sebagai johan azan.

"Selepas menjadi johan azan dalam pertandingan di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia, Kuala Kubu Bharu, saya menyepi seketika kerana diserang strok pada 2017.

Zainal ketika hadir sempena pertandingan laungan azan JBPM dengan kerjasama MASKAB yang dijalankan secara dalam talian ketika ditemui di surau ibu pejabat JBPM Kelantan. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Zainal ketika hadir sempena pertandingan laungan azan JBPM dengan kerjasama MASKAB yang dijalankan secara dalam talian ketika ditemui di surau ibu pejabat JBPM Kelantan. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

"Untuk pertandingan kali ini pula, saya diminta ketua balai kerana melihat pencapaian saya sebelum ini, malah saya semakin pulih dan masih boleh mengalunkan azan dengan baik," katanya ketika ditemui di surau Ibu Pejabat JBPM Kelantan di sini, hari ini.

Bapa kepada empat cahaya mata itu berkata, berbanding secara dalam talian, dia lebih berpuas hati jika pertandingan diadakan secara bersemuka kerana berasa yakin apabila dapat berdepan dengan juri serta penonton.

Selain pertandingan azan, dua lagi kategori turut disenaraikan iaitu tilawah al-Quran serta hafazan dan disertai 84 peserta membabitkan semua negeri termasuk Sabah dan Sarawak.

Pengarah JBPM Kelantan, Zainal Madasin berkata, seramai empat wakil dari Kelantan menyertai pertandingan diadakan secara tahunan itu diwakili BBP Kota Bharu, Rantau Panjang dan ibu pejabat di Tunjong.

"Pertandingan itu diadakan selama empat hari bermula hari ini dan dijalankan menerusi aplikasi Zoom Meeting dan untuk Kelantan, kami adakan bertempat di surau jabatan.

"Saya difahamkan, sejak pertandingan ini dianjurkan pada 2012, sudah tiga kali wakil dari Kelantan dinobatkan sebagai johan bagi kategori tilawah al-Quran.

"Kami mengharapkan kali ini Kelantan akan mendapat tempat sebagai pemenang untuk mana-mana kategori," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 April 2021 @ 3:20 PM