GAMBAR hiasan. FOTO Farizul Hafiz Awang
GAMBAR hiasan. FOTO Farizul Hafiz Awang
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Kemudahan asas termasuk katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di negeri ini masih mencukupi walaupun berlaku peningkatan kes positif Covid-19 sejak kebelakangan ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Dr Nor Azimi Yunus berkata, kemudahan yang ada ketika ini masih mampu menampung pesakit.

"Kita (Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu) sudah bersiap sedia daripada segi kemudahan sekiranya kes positif terus meningkat.

"Secara keseluruhan, setakat ini situasi Covid-19 di Terengganu masih terkawal walaupun berlaku peningkatan kes dan kadar kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 berada pada tahap 1.33 (semalam) ketika ini.

"Namun, apa yang membimbangkan adalah perkembangan semasa di Besut kerana jangkitan Covid-19 berada di dalam komuniti, sedangkan daerah lain hanya membabitkan kontak rapat," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Dr Nor Azimi berkata, orang ramai dinasihatkan berada di rumah dan mengehadkan pergerakan bagi mengelak penularan Covid-19.

Katanya, semua pihak mempunyai tanggungjawab dalam melawan Covid-19 dan hanya dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) serta pengamalan konsep 3C dan 3W paling berkesan untuk memutuskan rantaian Covid-19.

Sehingga semalam, JKNT melalui laman Facebooknya merekodkan pertambahan 69 kes discaj, 165 kes baharu dan satu kes kematian.

Ia menjadikan terdapat 824 kes Covid-19 yang aktif di Terengganu dengan jumlah keseluruhan kes sebanyak 5,407 kes.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Mei 2021 @ 3:01 PM