Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Bagi membantu golongan bujang yang tinggal di perantauan, seorang pemuda tampil berkongsi cara mudah bagi menyediakan hidangan bersahur dan berbuka puasa menerusi platform TikToknya yang diberi nama @capikkkkkk.

Malah, Ahmad Syafiq Ahmad Nadzri, 23 yang bekerja di sektor swasta tidak lokek berkongsi ilmu dengan memuat naik pelbagai video penyediaan pelbagai jenis minuman dan masakan menyelerakan.

Menurutnya, sejak Januari lalu, dia aktif memuat naik video memasak di TikTok dan akan diteruskan kerana ada sambutan daripada pengikutnya.

"Saya seronok berkongsi ilmu memasak kerana menyedari ramai golongan bujang minat memasak tetapi segelintirnya tidak tahu cara yang mudah hingga lebih cenderung membeli juadah daripada menyediakannya sendiri.

"Keinginan berkongsi resipi dan cara memasak sebenarnya tercetus selepas video menyediakan laksa utara dimuat naik tiga bulan lalu di TikTok mendapat perhatian ramai.

"Sejak itu, pengikut saya bertambah dan ramai yang meminta memuat naik lagi video menyediakan masakan tertentu.

"Jadi, saya gunakan platform itu untuk berkongsi ilmu memasak khususnya kepada golongan bujang yang berminat mempelajarinya supaya mereka dapat menyediakan hidangan dalam masa singkat tanpa perlu menggunakan banyak bahan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bercerita lanjut, anak bongsu daripada empat beradik itu berkata, dia bukanlah seorang yang handal di dapur tetapi tidak kekok memasak kerana sudah didedahkan dengannya sejak kecil lagi.

"Arwah emak, Salmah Ibrahim yang banyak mengajar dan berkongsi ilmu memasak hingga saya menjadi mahir hasil latihan secara konsisten.

"Selepas emak meninggal dunia, kakak (Nadia Nadzira, 28) yang banyak memberi sokongan untuk saya terus memasak.

"Sebahagian masakan saya kongsikan seperti Asam Pedas Tenggiri, Sambal Udang Petai dan kuih ketayap dihasilkan dengan resipi yang diajar oleh arwah ibu. Manakala, ada juga makanan dan minuman dihasilkan dengan olahan resipi sendiri," katanya.

AHMAD Syafiq Ahmad Nadzri aktif berkongsi video memasak di TikTok untuk  berkongsi ilmu dengan golongan bujang.
AHMAD Syafiq Ahmad Nadzri aktif berkongsi video memasak di TikTok untuk berkongsi ilmu dengan golongan bujang.

Ahmad Syafiq berkata, selain berkongsi ilmu memasak, dia juga giat mempelajari cara menyediakan pelbagai hidangan terkini terutama yang 'trending' di laman sosial.

"Ikutkan, kebanyakan pengikut gemar saya berkongsi video masakan Melayu dan cara memasak ala bujang.

"Namun, saya juga tidak mahu ketinggalan mempelajari dan menyediakan makanan moden yang tular di laman sosial. Sempena Ramadan ini, saya bercadang kongsikan lebih banyak video memasak dengan golongan bujang di luar sana dapat mencubanya sendiri di rumah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 April 2021 @ 2:14 PM