Bayi lelaki penghidap Biliary Atresia, Muhammad Danial Hakim Ishak, dua bulan bersama ibunya, Siti Zaliha.
Bayi lelaki penghidap Biliary Atresia, Muhammad Danial Hakim Ishak, dua bulan bersama ibunya, Siti Zaliha.
Siti Rohana Idris


Jeli: "Kalau boleh dipindahkan penyakit ini, saya sanggup menjadi ganti daripada melihat anak menderita," kata Siti Zaliha Abdul Kadir, ibu kepada bayi lelaki yang menghidap Biliary Atresia.

Siti Zaliha, 41, dari Kampung Kalai, di sini, berkata bayinya Muhammad Danial Hakim Ishak, dua bulan, baru menjalani pembedahan 'Kasai' untuk memperbaiki sistem hempedu tersumbat, sebulan lalu.

Menurutnya, pembedahan Kasai dilakukan sebagai kaedah pertama dan anaknya perlu menjalani rawatan pemindahan hati jika pembedahan itu tidak berjaya dalam tempoh enam bulan.

"Danial akan menjalani pembedahan pemindahan hati jika pembedahan Kasal ini gagal dan ia perlu dipantau dalam tempoh enam bulan.

"Tidak sanggup melihat keadaan perutnya membuncit sebegini dengan mata kekuningan, namun agak melegakan kerana Danial tidak kerap meragam," katanya ketika dihubungi, di sini.

Siti Zaliha berkata, anak bongsu daripada lima beradik itu dikesan menghidap Biliary Atresia sebaik dilahirkan apabila dijangkiti jaundis yang agak tinggi.

Katanya, selepas hampir dua minggu dirawat di Hospital Tanah Merah, doktor mengesahkan bayinya menghidap penyakit berkenaan dan pada usia sebulan terpaksa menjalani pembedahan untuk memperbaiki sistem hempedu.

"Luluh hati kami sebagai ibu bapa melihat bayi yang masih kecil ini diuji dengan penyakit sebegini dan setiap hari bergantung kepada ubat.

"Tempoh enam bulan ini sangat mendebarkan buat kami kerana doktor memaklumkan jika pembedahan Kasai yang dibuat baru-baru ini gagal, Danial akan dijalankan rawatan pemindahan hati.

"Saya ada terbaca mengenai pembedahan itu yang selain agak berisiko, kosnya juga sangat tinggi bagi kami kerana suami hanya bekerja kampung sahaja," katanya.

Terdahulu, mereka dikunjungi aktivis masyarakat Cempaka Merah Asnaf Society bersama wakil kerajaan negeri termasuk isteri kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datin Rowiyah Ghazali.

Selain bertanya khabar, rombongan itu turut menyerahkan sumbangan dalam bentuk makanan, wang tunai, lampin pakai buang dan susu khas.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Rakyat 22-388-108942-1 atas nama Siti Zaliha Abdul Kadir atau menghubunginya di talian 017-2038153.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 April 2021 @ 5:10 PM