MASLINA memujuk Nurul Jalwa yang menangis.
MASLINA memujuk Nurul Jalwa yang menangis.
Mohd Hilmie Hussin

Alor Gajah: Seorang bayi berusia lima bulan yang menghidap penyakit hati kronik (biliary atresia) memerlukan bantuan bagi menampung kos pembedahan yang dianggarkan mencecah RM250,000.

Maslina Abd Jabbar, 31, berkata, keadaan bayinya Nurul Jalwa Nor Fazizal semakin kritikal dan perlu menjalani pembedahan pemindahan hati di hospital di China secepat mungkin.

Katanya, anak bongsu daripada empat beradik itu dikesan menghidap penyakit berkenaan sejak berusia 69 hari.

“Sebelum ini, laporan kesihatan Hospital Melaka mendapati saluran hempedu Nurul Jalwa sempit dan doktor perlu membuangnya.

“Pada 30 April lalu, bayi saya menjalani pembedahan Kasai di Hospital Kuala Lumpur.

“Selepas itu keadaan Nurul Jalwa stabil, tetapi pada 30 Mei lalu dia tidak dapat membuang air besar, kencing dan angin sekali lagi,” katanya di rumahnya di Kuala Sungai Baru di sini, semalam.

Berikutan itu, Maslina berkata, pembedahan bagi meleraikan usus Nurul Jalwa yang melekat pada hati membengkak dilakukan pada 19 Jun lalu untuk membolehkannya membuang air besar, kencing dan angin.

Katanya, dia bersama suami Nor Fazizal Md Nor, 37, merujuk Pusat Perubatan Universiti Malaya dan bayi mereka dinasihatkan supaya menjalani pembedahan pemindahan hati di China secepat mungkin.

“Namun kami menghadapi kekangan kewangan dan tidak mampu menanggung kos terbabit.

“Walaupun suami berkhidmat sebagai anggota tentera, kedudukan kewangan kami tidak mencukupi,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkannya melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 04106-29-00038527-1 atas nama Maslina Abd Jabbar atau menghubunginya di talian 017-628 8946.

Sementara itu, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi Hasmorni Tamby berkata, penderitaan Nurul Jalwa akan diketengahkan untuk perhatian kerajaan negeri.

Beliau yang meluangkan masa mengunjungi rumah keluarga itu berkata, pihaknya bersimpati dengan bayi berkenaan yang terpaksa menanggung kesakitan akibat penyakitnya.

“Kita akan usahakan sesuatu pada peringkat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan DUN (JAPERUN).

“Malah saya cuba mengetengahkan masalah ini kepada kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya berusaha mendapatkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri bagi meringankan beban keluarga bayi terbabit yang perlu berulang-alik ke Kuala Lumpur untuk perubatannya dan menampung kos rawatan di China.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Julai 2018 @ 2:02 PM