Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mencadangkan Klinik Nur Sejahtera (KNS) dijadikan sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Covid-19.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun berkata, pihaknya sudah mengusulkan cadangan itu kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) yang mana secara dasarnya Mosti bersetuju.

Menurutnya, bagaimanapun perbincangan masih berjalan dan perlu diperhalusi iaitu golongan sasaran yang mana sesuai datang ke KNS bagi mendapatkan suntikan vaksin itu.

"Secara keseluruhannya Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) mempunyai 49 KNS dan 15 KNS mobil dengan mempunyai doktor dan jururawat terlatih dalam pemberian vaksin.

"Malah KNS juga pernah terbabit dalam Program Vaksinasi Human Pappiloma Virus (HPV) Kebangsaan bermula pada 2012 yang mana sehingga 28 Februari lalu sebanyak 902,402 dos Vaksin HPV disuntik kepada penerima yang layak," katanya pada sidang media selepas lawatan di KNS di Ibu Pejabat LPPKN, di sini, hari ini.

Rina berkata, jika boleh pihaknya ingin secepat mungkin cadangan itu dilaksanakan namun jumlah KNS yang akan dijadikan PPV Covid-19 itu ditentukan selepas perbincangan.

"Kita mahu mempercepatkan proses ini supaya lebih banyak pusat pemberian vaksin ini dalam usaha memerangi Covid-19," katanya.

Terdahulu pada lawatan itu, beliau turut menyerahkan Kit Bantuan LPPKN Prihatin Dana Kasih yang diberikan kepada enam wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Rina berkata, sebanyak 370 kit bantuan membabitkan barangan keperluan ibu yang baru bersalin akan diagihkan kepada mereka di beberapa komuniti dikenal pasti.

"Selain itu, Persatuan MamaCare Malaysia (MAM) turut menyediakan perkhidmatan sokongan emosi dan tips penjagaan dalam talian secara percuma kepada ibu yang baru bersalin.

"Ia satu lagi bentuk sokongan sosial dalam memastikan kesihatan mental dan fizikal ibu yang baru bersalin dapat dipertingkatkan," katanya.

RINA diberi peneranganoleh Ketua Pengarah LPPKN Abdul Shukur Abdullah ketika melawat Klinik Nur Sejahtera. FOTO Fathil Asri
RINA diberi peneranganoleh Ketua Pengarah LPPKN Abdul Shukur Abdullah ketika melawat Klinik Nur Sejahtera. FOTO Fathil Asri

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Jun 2021 @ 11:42 AM