Kakitangan JPNS dan Jabatan Perikanan Negeri Sembilan pada program pelepasan 24,000 benih ikan kelah dan air tawar di Sungai Kenaboi Jelebu. FOTO Ihsan Jabatan Perikanan NS
Kakitangan JPNS dan Jabatan Perikanan Negeri Sembilan pada program pelepasan 24,000 benih ikan kelah dan air tawar di Sungai Kenaboi Jelebu. FOTO Ihsan Jabatan Perikanan NS
Mohd Amin Jalil

Jelebu: Taman Negeri Kenaboi Jelebu di sini, bakal mempunyai tarikan baharu apabila Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan (JPNS) sudah merancang untuk mewujudkan Santuari Ikan Sungai Kenaboi, di bahagian hulu sungai itu, sebelum akhir tahun ini.

Pengarah JPNS, Saleh Awaludin, berkata, projek itu akan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Perikanan Negeri Sembilan dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) serta beberapa agensi lain.

Katanya, santuari itu nanti akan dijadikan pusat pembenihan dan pemeliharaan ikan kelah selain pembiakan beberapa jenis ikan air tawar yang lain seperti petutu, sebarau dan lampam.

"Keadaan air Sungai Kenaboi yang bersih dan tidak tercemar ketika kini hilang tarikan kerana sumber ikan di dalamnya terutama kelah mengalami kepupusan kerana gangguan manusia termasuk kegiatan menuba.

"Walaupun pelepasan ikan sering dilakukan di dalam sungai berkenaan, namun ikan itu tidak bertahan lama kerana kegiatan menuba selain faktor alam semula jadi iaitu fenomena kepala air yang besar.

"Kajian beberapa pihak yang berkaitan mengesahkan penurunan populasi yang ketara terhadap spesies itu di sungai berkenaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini," katanya tadi.

Sungai Kenaboi adalah cabang utama Sungai Triang yang mengalir ke Sungai Pahang dan satu-satunya sungai di Negeri Sembilan yang wujud spesies ikan kelah atau nama saintifiknya Tor Tambra (kelah bibir tebal), Tor Tambroides (kelah merah) dan Tor Duoronensis (kelah biru), secara semula jadi.

Mengulas lanjut, Saleh berkata, satu sesi libat urus dan menyantuni masyarakat Orang Asli diadakan di lokasi berkenaan baru-baru ini, bertujuan membuka minda dan memberi kesedaran supaya Orang Asli sentiasa menghargai, berusaha melindungi dan peka dalam kepentingan memelihara kelestarian ekosistem terindah di Sungai Kenaboi.

Beliau berkata, usaha memulihara populasi ikan kelah yang semakin sukar ditemui di sungai itu memerlukan kerjasama masyarakat Orang Asli kerana mereka adalah kelompok masyarakat yang paling hampir dengan sungai berkenaan.

"Kita sedar, ikan kelah menjadi ikan kegilaan pemancing malah turut bergelar 'raja sungai' kerana ia bernilai tinggi di pasaran dan akibatnya ikan berkenaan menjadi sasaran kerana lokasi itu kawasan terbuka serta tiada pihak dapat memantau sungai itu sepanjang masa.

"Namun, melalui pengwujudan santuari itu nanti, pengurusan akan dibuat lebih sistematik dan terkawal dengan pengawasan dilakukan Majlis Permufakatan Komuniti Kampung (MPKK) serta jawatankuasa penduduk Orang Asli berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 April 2021 @ 6:35 PM