Mohamad Fahd Rahmat


Johor Bahru: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 berjaya memberkas 69 pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia termasuk seorang tekong dan lima pembantunya yang cuba menyusup keluar dari negara ini dengan bot pancung di 3.2 batu nautika barat Pulau Kukup Pontian kira kira 12.15 pagi tadi.

Timbalan Komandernya Superintendan Salehuddin Mat Zaman berkata, tiga bot peronda mengejar selama kira-kira setengah jam sebelum berjaya memintas dan menahan PATI berkenaan termasuk lapan wanita berusia antara 18 hingga 53 tahun.

Katanya, tekong bot dan pembantunya ditahan mengikut Seksyen 26 (a) Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Akta Imigresen 1959/63.

"Semua PATI disiasat mengikut Seksyen 5(2), Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63 manakala bot bersama tiga enjin dengan anggaran nilai RM 170,000turut dirampas untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Februari 2016 @ 1:36 PM