SUNGAI Skudai. FOTO Arkib NSTP
SUNGAI Skudai. FOTO Arkib NSTP
Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Pencemaran Sungai Skudai yang masih berterusan menjejaskan kapasiti Loji Rawatan Air (LRA) Sultan Ismail di sini, menyebabkan ia hanya mampu merawat 53 juta liter berbanding 227 juta liter air sehari sebelum ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, sekiranya berlaku musim kemarau, sebahagian kawasan sekitar Johor Bahru yang menerima sumber air dari loji ini terpaksa dibekalkan air secara berjadual.

Beliau berkata, mengikut pemantauan, pencemaran sungai berkenaan didapati bukan sahaja berpunca daripada sampah sarap tetapi amonia hasil buangan sisa industri dan pusat kumbahan.

"Kini kualiti air berada di kelas tiga dan pelbagai usaha bersepadu dijalankan bagi meningkatkan kualiti ke kelas dua, sekali gus membantu meningkatkan kapasiti LRA serta mengurangkan kos rawatan air pada masa depan.

"Kami berharap pelbagai agensi mampu bekerjasama termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Badan Kawal Selia Air Negeri Johor (Bakaj) serta Ranhill SAJ," katanya ketika ditemui pada Program Sayangi Sungai Skudai di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Eksekutif Ranhill SAJ, Nor Ifuan Md Nor

Hasni berkata, Syarikat air Ranhill memperuntukkan sejumlah peruntukan kewangan untuk membangunkan denai sungai Skudai sepanjang empat kilometer sebagai kawasan rekreasi menerusi Program Denai Sungai Kebangsaan (DSK).

Menurutnya, ia membantu dalam usaha pemuliharaan sungai di negeri ini dan tidak menjadi program gajah putih.

Dalam pada itu, Nor Ifuan berkata, apabila bacaan parameter amonia terlalu tinggi, pihak Ranhill SAJ terpaksa menghentikan operasi rawatan air.

"Ia mengambil masa untuk pulih, ia mengganggu bekalan air bersih di kawasan sekitar Johor Bahru," katanya.

Sungai berkenaan adalah sumber air utama bagi Loji Rawatan Bekalan Air (LRA) Sultan Ismail yang membekalkan air terawat kepada 163,250 penggunadi sekitar daerah Johor Bahru.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 April 2021 @ 3:49 PM