Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Jumlah pendaftaran individu yang layak mendapatkan vaksin Covid-19 masih rendah berbanding keseluruhan rakyat tempatan dan warga asing di negara ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sehingga semalam, lebih 7.6 juta daripada 26.7 juta rakyat Malaysia sudah mendaftar untuk mendapatkan vaksin menerusi aplikasi MySejahtera.

"Tetapi saya kira angka ini masih kecil berbanding dengan keseluruhan rakyat dan bukan rakyat (warga asing) di Malaysia yang wajar mendapat suntikan vaksin yang kita adakan hari ini.

"Pastinya ini penting untuk menentukan tahap pencapaian kita mengawal pandemik Covid-19 dengan lebih berjaya dan dalam keadaan yang sama, dapat kita 'revitalise' atau memulihkan ekonomi negara dengan lebih pesat lagi.

"Ada kaitan antara program vaksin ini dengan pelan pemulihan ekonomi negara," katanya ketika berucap merasmikan Program Derma Darah anjuran Yayasan Golf Amal Tan Sri Muhyiddin (TSMCGF) di pusat beli-belah di ibu negara di sini, hari ini.

Matlamat program dengan kerjasama Pusat Darah Negara (PDN) dan IGB Real Estate Investment Trust itu ialah bagi mendapatkan 500 penderma darah sepanjang dua hari program berlangsung bermula hari ini.

Turut hadir Presiden TSMCGF Datuk Ir Zainuddin Mohd Radzi dan Pengarah PDN Dr Noryati Abu Amin.

Muhyiddin turut menyeru sukarelawan untuk membantu pengunjung yang datang bagi menderma darah dan masih belum mendaftar dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan supaya memberi penerangan seterusnya membantu mereka mendaftar melalui aplikasi MySejahtera.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, stok bekalan darah di PDN dan tabung darah di seluruh negara berkurangan biarpun permintaan terhadapnya semakin meningkat.

"Setiap hari, negara memerlukan sekurang-kurangnya 2,000 beg darah yang mampu menampung kegunaan kira-kira 1,000 pesakit.

"Di Lembah Klang saja, PDN memerlukan 500 hingga 600 beg darah sehari.

"Justeru, saya menyeru kepada semua kumpulan masyarakat untuk tampil menderma darah di sini atau di PDN seluruh negara demi membantu menyelamatkan nyawa pesakit, seterusnya meningkatkan tahap kesihatan komuniti setempat," katanya.

Menurutnya, beliau juga menganggap penderma darah adalah wira yang sanggup berkorban demi negara.

"Seperti ucapan saya sempena Hari Derma Darah Sedunia 2020, penderma darah adalah wira negara.

"Saya juga boleh katakan mereka (penderma darah) juga antara barisan hadapan kerana sanggup mengorbankan masa dan tenaga untuk tampil menderma darah terutamanya dalam keadaan negara kita berperang dengan virus Covid-19," katanya.

Muhyiddin turut merakamkan penghargaan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan kebajikan yang menggerakkan program derma darah di seluruh negara.

"Menerusi program yang dianjurkan ini, masyarakat berpeluang untuk menderma darah berdekatan dengan komuniti setempat mereka dan ini lebih memudahkan mereka.

"Teruskan usaha dan sokongan padu anda kerana PDN amat memerlukan bekalan darah ketika ini," katanya.

Muhyiddin turut mengajak semua rakyat Malaysia terutama yang masih belum menderma darah untuk memulakan langkah pertama dalam menjadikan amalan itu secara berkala sebagai budaya gaya hidup sihat.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 April 2021 @ 2:15 PM
    Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin beramah mesra bersama penderma ketika program derma darah anjuran Yayasan Kebajikan Golf Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMCG) di Mid Valley. Turut hadir, Pengarah Pusat Darah Negara, Dr Noryati Abu Amin (dua dari kanan) dan Pengerusi Ahli Jawatankuasa Kempen Derma Darah, Datuk Mohammad Maidon (kanan). FOTO ASYRAF HAMZAH
    Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin beramah mesra bersama penderma ketika program derma darah anjuran Yayasan Kebajikan Golf Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMCG) di Mid Valley. Turut hadir, Pengarah Pusat Darah Negara, Dr Noryati Abu Amin (dua dari kanan) dan Pengerusi Ahli Jawatankuasa Kempen Derma Darah, Datuk Mohammad Maidon (kanan). FOTO ASYRAF HAMZAH