RAKAMAN pergaduhan yang tular sejak semalam. FOTO tular
RAKAMAN pergaduhan yang tular sejak semalam. FOTO tular
Nor Amalina Alias

Kota Bharu: Polis sedang mengesan tiga lelaki yang terbabit dalam pergaduhan di sebuah kedai makan di Kok Lanas, yang tular sejak semalam.

Dalam rakaman berdurasi 31 saat itu, seorang lelaki berbaju hitam dilihat bergaduh dengan dua lelaki berpakaian kelabu dan hijau di sebuah kedai makan berhampiran jalan utama Kok Lanas-Kota Bharu.

Lelaki itu dilihat bertengkar dengan dua lelaki sebelum bertindak ganas menghentak kepala mangsa beberapa kali menggunakan topi keledar. Dia kemudian beredar dengan menaiki sebuah motosikal.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, polis membuat laporan selepas rakaman berkenaan ditularkan kepada awam .

"Setakat ini tiada laporan diterima daripada mana-mana pihak dan usaha mengesan mereka giat dijalankan.

"Laporan polis dibuat bagi menjalankan siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi.

Abdul Rahim berkata, polis meminta tiga lelaki berkenaan atau mana-mana saksi tampil memberi keterangan.

Katanya, setakat ini, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 April 2021 @ 8:17 PM