Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Kerajaan negeri Perak akan mengambil tindakan tegas dan menuntut ganti rugi daripada syarikat produksi drama yang menjalankan penggambaran di Gua Matsoorat di sini hingga berlaku kerosakan pada fosil berusia jutaan tahun dan bahagian dindingnya.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Perak Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, terdapat bukti bahawa kru syarikat produksi berkenaan melakukan kerosakan itu.

Menurutnya, kos ganti rugi kini sedang dalam perbincangan dengan pihak bertanggungjawab.

"Beberapa perjumpaan dan perbincangan diadakan dengan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), operator gua Matsoorat, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bersama bersama-sama pihak yang terbabit sebelum ini.

"Ada kemungkinan kerajaan negeri atau MBI menuntut ganti rugi untuk memulihara semula yang rosak atau mengenakan penalti kepada mereka bagaimanapun ia masih dalam peringkat perbincangan.

"Kita ada memanggil pakar untuk melihat serta menilai kerosakan yang berlaku dan mengesyorkan langkah untuk memuliharanya semula," katanya selepas hadir menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Kesefahaman (MoU) antara MBI dan tiga agensi iaitu Uni-Technologies Sdn Bhd, Urban Scale Studio Sdn Bhd dan Pavilion Agro Farm.

Nolee Ashilin berkata, kerajaan negeri kesal dengan insiden berkenaan dan akan memastikan tindakan tegas diambil supaya perkara tidak berulang pada masa hadapan.

"Kerajaan negeri kesal dengan perkara ini berlaku di salah satu tapak yang sedang kita usahakan untuk diangkatkan sebagai geotapak yang baharu dalam Geopark Lembah Kinta.

"Tahap keselamatan ditingkatkan untuk tempoh 24 jam di luar persekitaran gua dengan pemantauan dan menambah jumlah pengawal keselamatan yang bertugas," katanya.

Nolee berkata, perkara ini menjadi pengajaran kepada semua pihak untuk berhati-hati supaya tidak berulang pada masa hadapan.

"Tidak boleh ambil ringan tentang khazanah dan warisan ini kerana sekali sudah rosak susah untuk kita memulihara semula.

"Amaran keras untuk semua walaupun permit diberi, mereka perlu bertanggungjawab atas setiap pergerakan yang mereka lakukan khususnya di dalam kawasan pemuliharaan," katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan pengarah, Michael Ang menyatakan kekesalan dengan insiden produksi drama Angkara Cinta yang menjalani penggambaran di Gua Matsoorat, Ipoh, baru-baru ini.

Sementara itu pengarah drama bersiri Angkara Cinta, Hadith Omar tampil memohon maaf terhadap insiden merosakkan fosil dan bahagian dinding Gua Matsoorat itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 April 2021 @ 12:10 PM
PENGERUSI Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi (dua kiri) melancarkan aplikasi MyAduan@MBI di Bangunan Majlis Bandaraya Ipoh. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI
PENGERUSI Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi (dua kiri) melancarkan aplikasi MyAduan@MBI di Bangunan Majlis Bandaraya Ipoh. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI