ROHAYU Ahmad ketika ditemui di Pejabat agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Lubok Jong, Pasir Mas. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ROHAYU Ahmad ketika ditemui di Pejabat agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Lubok Jong, Pasir Mas. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Syaherah Mustafa


KES penagihan dadah di Kelantan meningkat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijalankan.

Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kelantan, Rohayu Ahmad berkata, ia berdasarkan kepada jumlah tangkapan tinggi membabitkan 129 individu melalui Operasi Total Enforcement II (Ops TE II) dijalankan bermula 22 Jun sehingga hari ini.

Beliau berkata, penyalahgunaan dadah rancak berlaku biarpun negara berdepan dengan pandemik Covid-19 apabila golongan pengedar dan penagih menjalankan kegiatan mereka secara tersembunyi.

"Kami menyasarkan lebih banyak tangkapan jika operasi terus giat dijalankan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) terutama membabitkan Orang Yang Disyaki (OYDS) sebagai penagih.

"Selain itu, kami turut mengenal pasti 15 kawasan berisiko tinggi (KBT) di Kelantan membabitkan lima daerah iaitu di Kota Bharu, Machang, Tumpat, Bachok dan Pasir Mas. KBT dikenal pasti berdasarkan jumlah Orang Kena Pengawasan (OKP) selain berlaku banyak kes jenayah.

"Antara kawasan itu adalah Pengkalan Chepa serta Badang, Kota Bharu; Ulu Sat di Machang; Pengkalan Kubur dan Wakaf Bharu, Tumpat. Selain itu, Kampung Perupok dan Melawi di Bachok; Kampung Gual Periok di Rantau Panjang dan Lemal di Pasir Mas," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media berkaitan kejayaan Ops TE II di Pejabat AADK Pasir Mas, hari ini.

Rohayu berkata, daripada sejumlah 129 individu ditahan dalam ops terbabit, seramai 113 penagih dalam lingkungan 18 sehingga 50 tahun positif dadah melalui ujian saringan air kencing dijalankan.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati bekalan dadah masih ada sepanjang PKP dijalankan dan maklumat polis mendapati ramai yang melanggar Sekatan Jalan Raya (SJR) sebelum ini kerana ingin mendapatkan bekalan dadah.

"Pihak AADK terus menggiatkan operasi biarpun dalam keadaan negara masih melawan Covid-19 bagi mengenal pasti penagih dadah untuk diselamatkan selain memutuskan rangkaian pengedaran bahan terbabit di kawasan sasaran.

"Malah, operasi dijalankan bukan untuk menghukum penagih sebaliknya bertujuan memberikan rawatan dan pemulihan terbaik agar golongan ini dapat kembali ke pangkal jalan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2020 @ 4:28 PM