Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Pembantu peribadi selebriti popular Neelofa, Nadiah Khairuddin tampil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dangi Wangi, di sini, hari ini, bagi memberi keterangan berhubung majlis pernikahan selebriti itu yang dikatakan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Nadiah bersama peguam tiba 11.40 pagi sebelum dilihat keluar dan meninggalkan IPD berkenaan dua jam kemudian.

Turut kelihatan pemilik dan pengasas Syarikat Reka Teemor Faiz Sabari dan isterinya Rozana Mumtaz yang dilantik sebagai pengurus majlis pernikahan itu.

Bagaimanapun tidak kelihatan kelibat ahli keluarga Neelofa.

Kesemua mereka enggan memberikan sebarang komen mengenai pertemuan itu ketika dihampiri media.

Harian Metro sebelum ini melaporkan polis memanggil keluarga Neelofa untuk memberi keterangan berhubung pematuhan SOP pada majlis pernikahan Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah dilaporkan berkata, selain daripada keluarga Neelofa, penganjur acara majlis pernikahan itu juga dijangka memberi keterangan bersama.

Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor selamat diijabkabulkan dengan pelakon dan pendakwah bebas Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz, 26, di hotel terkemuka di sini.

Pasangan itu dinikahkan adik Neelofa iaitu Mohd Aqief Mohd Noor dan menerima mas kahwin berupa sebentuk cincin.

Namun, satu gambar tular di media sosial mendakwa majlis yang dianjurkan itu tidak mematuhi SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mac 2021 @ 4:36 PM
Kelihatan pembantu peribadi pengacara terkenal, Neelofa ia itu, Nadiah Khairuddin (dua kiri) dikejar media yang tunggu mereka ketika keluar dari Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi selepas memberi keterangan berhubung majlis perkahwinan Neelofa, 32 dengan pelakon dan pendakwah bebas, Muhammad Haris  Mohd Ismail atau PU Riz, 26 disini hari ini. FOTO OWEE AH CHUN