PU Riz dan isterinya, Neelofa.
PU Riz dan isterinya, Neelofa.
Raja Noraina Raja Rahim dan Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Keluarga selebriti popular, Neelofa dipanggil memberi keterangan esok berhubung pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pada majlis pernikahan Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, selain daripada keluarga Neelofa, penganjur acara majlis pernikahan itu juga dijangka memberi keterangan bersama.

"Sepatutnya penganjur acara itu hadir memberi keterangan hari ini tetapi ditangguhkan esok bersama keluarga Neelofa.

"Setakat ini, polis sudah mengambil keterangan beberapa saksi," katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan pengurus acara majlis pernikahan selebriti popular dan pendakwah bebas akan dipanggil pada hari ini bagi membantu siasatan berhubung SOP.

Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd Noor, 32, diijabkabulkan dengan pelakon dan pendakwah, Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz, 26, di hotel terkemuka di sini.

Pasangan itu dinikahkan adik Neelofa iaitu Mohd Aqief Mohd Noor dan menerima mas kahwin berupa sebentuk cincin.

Namun, satu gambar tular di media sosial mendakwa majlis yang dianjurkan itu tidak mematuhi SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mac 2021 @ 6:13 PM