DATUK Seri Takiyuddin Hassan ketika berucap pada Malaysia Prihatin di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pendang. FOTO Luqman Hakim Zubir
DATUK Seri Takiyuddin Hassan ketika berucap pada Malaysia Prihatin di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pendang. FOTO Luqman Hakim Zubir
Noorazura Abdul Rahman


Pendang: Rakyat termasuk ahli politik diminta dapat memberi ruang kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk melaksanakan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun agar ia mampu dilakukan secara profesional tanpa campur tangan mana-mana pihak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ia kerana pihaknya difahamkan SPR perlu melalui beberapa prosedur membabitkan pengurusan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"Sebelum melaksanakan undi pada usia 18 tahun, SPR perlu pastikan dahulu dengan JPN mengenai alamat pengundi mengikut kad pengenalan, Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen mana mereka akan mengundi.

"Ia tidak boleh sebarangan kerana SPR mahu elak berlaku kejadian seperti alamat di tempat lain tapi mengundi di tempat lain tidak sama seperti kad pengenalan," katanya ketika ditemui selepas Program Malaysia Prihatin di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Pendang di sini, hari ini.

Khamis lalu, Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh dilaporkan berkata, pendaftaran pemilih secara automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun dijangka hanya mampu dilaksanakan selepas 1 September tahun depan.

Susulan kenyataan itu, pelbagai pihak mempertikaikan perkara itu termasuk ada yang menganggap penangguhan pelaksanaannya sebagai tidak munasabah.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, isu undi pada usia 18 tahun mula diperkatakan pada 2019, ketika itu tempoh mengundi masih jauh dan SPR mungkin menjangkakan mereka ada masa yang cukup untuk melaksanakannya.

"Sekarang ada dua tahun lagi...bagi kerajaan Perikatan Nasional (PN), Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) sudah jelaskan kerajaan tidak anti kepada pengundi berusia 18 tahun.

"Kami dulu pembangkang, kami pun sokong, tapi dengan syarat pendaftaran mestilah secara automatik sebab kalau tidak jumlah individu layak mengundi tidak mendaftar akan bertambah sebab yang berusia 21 pun terdapat empat juta tak mendaftar," katanya.

Selain itu, beliau berkata, SPR juga perlu menunggu semua negeri meminda perlembagaan negeri masing-masing untuk menurunkan kelayakan calon Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kepada 18 tahun terlebih dahulu.

"Isu sekarang adakah semua kerajaan negeri sudah meminda perlembagaan negeri masing-masing untuk turunkan calon Adun daripada 21 tahun ke 18 tahun.

"Inilah masalah yang mungkin dihadapi SPR, sekiranya mereka tidak selesai perkara-perkara ini mustahil untuk SPR laksanakan pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun," katanya.

Takiyuddin berkata, rakyat diminta tidak terlalu cepat menuduh SPR atau kerajaan sengaja melengah-lengahkan pelaksanaan berkenaan tanpa mengetahui kekangan yang dihadapi.

Katanya, beliau sendiri diarahkan oleh Perdana Menteri untuk mengadakan perjumpaan dengan SPR bagi mendapatkan maklumat dan apa sahaja masalah yang dihadapi berhubung perkara itu.

"Saya akan jumpa untuk dapatkan maklumat dan kepastian sahaja, kerajaan tidak akan campur tangan kerana dalam Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa pengerusi dan ahli-ahli SPR dilantik oleh Yang Dipertuan Agong dan ia merupakan suruhanjaya bebas yang tidak terikat dengan kerajaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mac 2021 @ 3:23 PM