Izhar Yaacub (kanan), Mohd Yusof Hamid (tengah) dan Nasir Abd Rahman ketika melihat buah kelapa sawit dituai di ladang milik Izhar. FOTO ABNOR HAMIZAM
Izhar Yaacub (kanan), Mohd Yusof Hamid (tengah) dan Nasir Abd Rahman ketika melihat buah kelapa sawit dituai di ladang milik Izhar. FOTO ABNOR HAMIZAM
Oleh Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Golongan peneroka FELDA berharap kenaikan harga Buah Tandan Segar (BTS) sehingga mencecah RM900 satu tan ketika ini meningkatkan semula pendapatan peneroka yang terjejas akibat harga tidak menentu sekian lama.

Peneroka FELDA Raja Alias Dua Izhar Yaacub, 64, berkata, kenaikan mendadak harga BTS perlu direbut peneroka berikutan ia jarang-jarang berlaku.

"Berdasarkan perahan sawit di kilang ketika ini, harga tinggi itu dijangka kekal sehingga beberapa bulan lagi. Namun kami berharap ia akan kekal untuk tempoh masa lebih lama.

"Ini peluang untuk peneroka menambah pendapatan yang sebelum ini terjejas apabila harga tandan pernah mencecah RM300 satu tan dua tahun dahulu.

"Kami berharap harga BTS ini kekal untuk tempoh lama selain membolehkan peneroka membuat persiapan Ramadan dan Aidilfitri," "katanya semalam.

Peneroka, Mohd Yusof Hamid, 68 dari FELDA Raja Alias Tiga di sini, melahirkan rasa syukur apabila kenaikan harga BTS dapat memulihkan semula pendapatan keluarganya yang terjejas.

Sementara itu Naib Pengerusi Pertubuhan Suara Generasi Ke 2 FELDA, Mohd Azlan Ismail berkata, pendapatan kasar peneroka FELDA pada tahun ini dianggarkan antara RM6,500 sehingga RM8,000 sebulan mengikut nilai semasa.

Katanya, peneroka kini memperolehi pendapatan tertinggi berbanding pendapatan kasar peneroka dari 2014 hingga 2020 iaitu antara RM3,000 hingga RM4,500 sebulan.

"Peningkatan pendapatan ini akan memberi manfaat kepada 112,368 peneroka FELDA dari 317 tanah rancangan seluruh negara," katanya.

Ketua Peneroka Negeri Sembilan Karib Mohd Salleh berkata, peneroka sewajarnya menyimpan lebihan pendapatan yang diterima ketika ini sebagai persediaan sekiranya harga kelapa sawit jatuh semula.

"Kerajaan sudah melakukan yang terbaik termasuk mencari pasaran baharu minyak sawit sehingga meningkatkan harga BTS yang tinggi setakat ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mac 2021 @ 5:05 PM