Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah. FOTO Ihsan Jabatan Penerangan
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah. FOTO Ihsan Jabatan Penerangan
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada pemain badminton negara Lee Zii Jia di atas kejayaan merangkul kejuaraan Kejohanan Badminton Seluruh England semalam.

Dalam satu kenyataan dimuat naik di Facebook Istana Negara, Seri Paduka Baginda menzahirkan suka cita dan bangga atas kejayaan Zii Jia yang menjulang serta mengharumkan nama negara di persada dunia.

Titah baginda, sesungguhnya kejayaan itu menggembirakan seluruh rakyat Malaysia dan baginda turut menzahirkan harapan semoga ia menjadi suntikan semangat kepada Zii Jia berlatih lebih keras untuk lebih cemerlang pada masa hadapan.

"Seri Paduka Baginda mengucapkan selamat maju jaya kepada Lee Zii Jia, semoga beliau dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan dan terus mengharumkan nama negara di persada dunia," menurut kenyataan itu, hari ini.

Al-Sultan Abdullah berharap kejayaan Zii Jia itu juga dapat menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia supaya bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan di dalam bidang masing-masing.

"Seri Paduka Baginda turut mengambil kesempatan ini menzahirkan penghargaan kepada Persatuan Badminton Malaysia, di bawah teraju Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, dan barisan kejurulatihan atas kejayaan Lee Zii Jia itu," kata kenyataan itu lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mac 2021 @ 5:49 PM