Mohamed Farid Noh


Pontian: Seorang kapten dan kru kapal asing didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas tuduhan mengimport rokok seludup bernilai RM47.1 juta, awal bulan ini.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh iaitu Myint Aung, 55, yang juga kapten warga Myanmar dan Seah Tien Lye, 48, kru kapal warga Singapura, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Inggeris di hadapan Majistret Nur Azzuin Abdul Moati.

Namun sembilan lagi kru kapal berkenaan yang kesemuanya membabitkan warga Myanmar yang turut berdepan pertuduhan sama, tidak dapat dituduh hari ini, berikutan tidak memahami bahasa Inggeris.

Myint dan Seah didakwa secara bersama-sama terbabit mengimport atau membawa masuk 7,000 kotak yang mengandungi 70 juta batang rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM47.1 juta dalam kapal MV Chita, yang mana barang berkenaan tertakluk pengimportnya mengikut Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.

Kesalahan itu dilakukan tiga batu nautika barat daya Pulau Kukup, di sini, 8.15 malam 8 Mac 2021.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 135 (1)(a) Akta Kastam 1967, yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda nilai dan tidak lebih 20 kali ganda amaun duti kastam atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Dewi Jasmine Ahmad manakala kedua tertuduh diwakili Mohd Hamizi Mohd Yusof dan Ahmad Khairuddin Khalid.

Terdahulu, peguam tertuduh memohon mahkamah memberikan nilai jaminan rendah terhadap anak guammnya.

"Kes ini bukan sahaja membabitkan warga asing malah saya mohon mahkamah supaya meneliti faktor kapal mereka yang tersadai di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) sejak awal Mac lalu, yang tidak berada bawah pengawasan sesiapa berikutan kesemua mereka ditahan," katanya.

Majistret kemudian memerintahkan kedua tertuduh dijamin RM20,000 setiap seorang dengan dua penjamin tempatan,pasport antarabangsa mereka diserah pada mahkamah selain perlu melapor diri di balai polis berhampiran pada Isnin setiap minggu sehingga tiba hari perbicaraan kes berkenaan.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan kedua kes itu pada 21 April depan selain untuk membuat pertuduhan terhadap sembilan lagi kru kapal berkenaan dengan kehadiran jurubahasa Myanmar.

MYINT Aung (kiri) dan Seah Tien Lye (kanan) di Mahkamah Majistret Pontian. FOTO Nur Aisyah Mazalan
MYINT Aung (kiri) dan Seah Tien Lye (kanan) di Mahkamah Majistret Pontian. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Pada 10 Mac lalu, Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 dilaporkan merampas rokok seludup terbesar dalam sejarah negara selepas menahan sebuah kapal kargo di perairan Pantai Barat berhampiran Pulau Kukup, di sini, pada 8 Mac.

Kapal kargo yang dilaporkan berdaftar di Mongolia itu dikesan berulang-alik dari perairan Batam ke Perak sebanyak dua kali sejak Februari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mac 2021 @ 1:20 PM