LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis sudah mengambil keterangan tiga individu berhubung pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di sebuah restoran di Jalan Bukit Bintang, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, keterangan daripada tiga individu berkenaan bagi membantu siasatan berkaitan satu video tular di media sosial menunjukkan Najib melanggar SOP PKPB di restoran berkenaan.

"Setakat ini, kami sudah mengambil keterangan daripada tiga individu bagi membantu siasatan kes berkenaan.

"Beberapa lagi individu termasuk Najib akan diambil keterangan dalam masa terdekat," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Najib berkata, beliau akan memberikan kerjasama kepada pihak polis yang akan memanggilnya bagi membantu siasatan kes berkenaan.

"Polis akan memanggil saya. Saya akan pergi memberi kerjasama. Sekurang-kurangnya pihak berkuasa dapat mengenal pasti identiti saya sebab video HD," katanya menerusi status yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya, hari ini.

Najib juga memaklumkan beliau akan membayar kompaun bagi kesalahan tidak mendaftar masuk MySejahtera ketika masuk ke restoran berkenaan.

"Aturan dibuat dan saya dibawa masuk ke kedai terus setibanya di sana. Saya mengaku kesilapan saya pada kali ini tidak membuat 'check in' sendiri walaupun pegawai-pegawai saya sudah berbuat demikian.

"Saya minta pihak berkuasa keluarkan saman terhadap saya atas kesilapan tidak sengaja ini. Kompaun untuk tidak 'scan' MySejahtera diumum sebagai RM1,500 dua hari lalu oleh Menteri PN.

"Saya bayar sebelum tempoh tujuh hari untuk dapat 'early bird' diskaun 50 peratus iaitu denda RM750. Saya akan membayar saman atas kesilapan saya ini secara sukarela," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan polis menjalankan siasatan berhubung pelanggaran SOP PKPB oleh Najib di sebuah restoran di Jalan Bukit Bintang, di sini, semalam.

Mohamad Zainal dipetik berkata, siasatan itu dilakukan susulan satu video tular di media sosial menunjukkan Najib melanggar SOP PKPB apabila tidak melakukan imbasan suhu dan tidak mendaftar masuk menggunakan MySejahtera ketika masuk ke restoran berkenaan.

Beliau dipetik berkata, siasatan itu dilakukan mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Peraturan 18, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No 4) 2021.

Sebelum ini, satu video berdurasi satu minit 39 saat menunjukkan Najib dilihat masuk ke restoran berkenaan dengan tidak melakukan imbasan suhu serta mendaftar masuk menggunakan MySejahtera tular di media sosial sejak semalam.

Berita berkaitan:

  • Langgar SOP, polis akan panggil Najib
  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mac 2021 @ 3:02 PM