Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli.
Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli.
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) giat menggempur perairan negara dalam usaha mengekang pencerobohan nelayan asing yang mencuri hasil laut negara.

Pengarah APMM Terengganu Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, usaha mengekang pencerobohan itu dilakukan menerusi Op Kuda Laut Fasa Kedua yang bermula awal bulan ini.

Beliau berkata, operasi berkenaan diteruskan bagi memastikan pencerobohan nelayan asing dapat dikurangkan selain mesej kepada nelayan asing supaya tidak berterusan menjadikan negara sebagai lubuk untuk nelayan mereka mengaut keuntungan dengan mencuri hasil laut negara.

"Dalam fasa kedua ini, sebanyak tiga kapal membabitkan kira-kira 80 pegawai dan anggota akan berada di laut selama 24 jam bagi memastikan perairan negara tidak dibolosi nelayan asing.

"Kita akan buat lebih agresif dalam fasa kedua ini bagi mengurangkan pencerobohan nelayan asing terutamanya nelayan Vietnam di kawasan sempadan dan perairan negara dengan menggunakan aset lebih besar.

"Kapal yang bersaiz besar akan ditempatkan di perairan sempadan manakala kapal-kapal bersaiz sederhana pula di kawasan 'second layer' selain pemantauan menerusi udara," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menerusi Op Kuda Laut Fasa Pertama yang bermula 26 Jun tahun lalu, Muhammad Suffi berkata, pihaknya menahan seramai 776 nelayan Vietnam daripada 67 bot yang menceroboh perairan negara membabitkan rampasan keseluruhan bernilai RM100.5 juta.

"Kita turut mengusir 259 nelayan daripada 28 bot nelayan Vietnam dalam tempoh sama ketika negara berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19 pada tahun lalu.

"Selain Op Kuda Laut, kita turut bekerjasama dengan beberapa agensi penguat kuasa lain seperti Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Perikanan Malaysia dan Pasukan Polis Marin menerusi Op Naga Barat bertujuan membanteras bot nelayan asing.

"Dalam Op Naga Barat yang bermula 26 April 2019 hingga Disember tahun lalu, seramai 1,687 nelayan Vietnam termasuk tekong daripada 139 bot ditahan membabitkan rampasan bernilai RM177.5 juta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mac 2021 @ 6:18 PM