Abdul Basith (tengah) bertemu penduduk di pusat penempatan sementara penduduk di Kampung Paya Jaras Hilir, Sungai Buloh hari ini. Foto Asyraf Hamzah
Abdul Basith (tengah) bertemu penduduk di pusat penempatan sementara penduduk di Kampung Paya Jaras Hilir, Sungai Buloh hari ini. Foto Asyraf Hamzah
Amir Abd Hamid


LEMBAGA Zakat Selangor (LZS) sudah mengenal pasti sembilan daripada 40 keluarga yang rumahnya dirobohkan di Kampung Paya Jaras Hilir di Sungai Buloh sebagai asnaf fakir miskin.

Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf LZS Abdul Basit Hamid berkata, sembilan keluarga berkenaan layak dipindahkan ke rumah milik LZS di Subang Bestari.

Menurutnya, sembilan keluarga berkenaan juga akan dibantu sepenuhnya termasuk keperluan asas dan pendidikan anak.

"Sembilan keluarga ini kita akan bantu sehabis baik sehingga mereka mampu untuk keluar belenggu kemiskinan.

"Mungkin dalam tempoh lima tahun atau lebih dalam program tertentu kami sediakan.

"Selain itu, semua 40 keluarga yang sudah kami banci mengikut had kifayah, bantuan segera RM300 setiap keluarga juga diberikan," katanya ketika menyampaikan taklimat di Kampung Paya Jaras Hilir hari ini.

Beliau berkata, pihak LZS juga sudah bersiap-sedia untuk menyantuni mangsa bagi fasa seterusnya.

Menurutnya, jika didapati sesebuah keluarga itu berada dalam kategori fakir atau miskin yang bermaksud tiada pendapatan atau berhadapan kekangan kewangan untuk meneruskan hidup, mereka akan dibantu.

Sebanyak 92 rumah dibina atas tanah rizab Sungai Kedondong dirobohkan secara berperingkat oleh Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Petaling bagi memberi laluan projek pelebaran bagi mengatasi masalah banjir kilat.

Setakat ini, sebanyak 37 rumah sudah dirobohkan bermula Rabu minggu lalu dan selebihnya akan menerima nasib sama selepas anak penduduk yang terbabit Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menduduki ujian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 10:03 PM