Tuan Ibrahim Tuan Man.
Tuan Ibrahim Tuan Man.
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Kerajaan perlu membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan agama mereka untuk tujuan pendidikan.

Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya menghormati hak mahkamah untuk membuat keputusan, namun perlu mengambil kira sensitiviti masyarakat Islam.

"Apa yang penting pada kita ialah undang-undang tidak melihat soal sentimen, undang-undang tidak pergi soal emosi, soal sentimen (ini) tiada pada perundangan.

"Kita tengok reaksi dalam kalangan masyakarat Islam dalam isu ini sangat serius dan sebab itu kita buat keputusan di peringkat parti untuk kerajaan segera membuat rayuan terhadap keputusan berkenaan supaya kita dapat semak kembali keputusan itu (penggunaan kalimah Allah).

"Harapan kita isu ini tidak perlu kita jadikan isu yang boleh menimbulkan polemik, peraturan mahkamah kita hormati, tetapi prosedur yang ada kita gunakan sepenuhnya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan mahkamah yang membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam kalangan penganut Kristian.

Terdahulu, Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air menyempurnakan Majlis Undi Perdana Kerja-kerja Dibawah Peruntukan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) Bagi Jabatan Pengairan dan Saliran Terengganu Siri 1/20 di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu lalu memutuskan penganut Kristian di negara ini boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan lain iaitu Baitullah, Kaabah dan solat dalam penerbitan agama mereka untuk tujuan pendidikan.

Ia susulan keputusan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Nor Bee Ariffin yang bersidang sebagai Hakim Mahkamah Tinggi, membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh wanita suku kaum Melanau dari Sarawak yang beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mac 2021 @ 3:18 PM