Nurul Hidayah Bahaudin


Subang Jaya: Helah sindiket loteri awam haram yang berselindung di sebalik kedai aksesori telefon bimbit serta komputer di Subang Perdana, Subang Mewah dan USJ 3 di sini, terbongkar selepas serbuan dilakukan pihak polis, hari ini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, pihaknya membuat serbuan serentak di empat premis kira-kira jam 4 petang tadi.

"Hasil serbuan dilakukan, sembilan individu termasuk tiga wanita yang juga pemain loteri awam haram serta penjaga premis berkenaan berusia antara 20 hingga 47 tahun ditahan.

ABD Khalid ketika sidang media selepas operasi sindiket loteri awam haram yang berselindung di sebalik kedai aksesori telefon bimbit serta komputer di Subang Perdana. FOTO AZIAH AZMEE
ABD Khalid ketika sidang media selepas operasi sindiket loteri awam haram yang berselindung di sebalik kedai aksesori telefon bimbit serta komputer di Subang Perdana. FOTO AZIAH AZMEE

"Mereka yang ditahan terdiri dua warga tempatan serta tiga warga Indonesia, tiga lelaki Bangladesh serta seorang lelaki Myanmar," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan di Subang Perdana, di sini, hari ini.

Abd Khalid berkata, pihaknya merampas empat mesin pencetak, 41 kertas nombor loteri awam haram serta wang tunai berjumlah RM1,759 dalam serbuan itu.

"Siasatan awal mendapati modus operandi sindiket berkenaan adalah berselindung di sebalik kedai aksesori telefon bimbit serta komputer.

"Ada premis menyediakan ruang khas di belakang kedai sebagai lokasi pemain membeli nombor loteri. Malah, ada juga yang berani melakukan urusan itu di depan kedai," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati pemain bebas melakukan pertaruhan tanpa had dengan jumlah pertaruhan serendah RM1.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Disember 2020 @ 8:01 PM