GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Seorang lelaki berusia 32 tahun yang mengalami masalah kemurungan sejak 10 tahun lalu ditemui mati tergantung dengan kain dalam bilik sebuah rumah di Kampung Juru Bukit Tengah di sini, semalam.

Insiden jam 7.30 petang itu disedari abang lelaki terbabit.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, terdahulu, abang lelaki itu yang berdepan masalah penglihatan kehairanan kerana adik lelakinya tidak keluar daripada bilik sejak pagi semalam.

"Apabila dia membuka pintu bilik adiknya itu, dia mendapati adiknya dalam keadaan tergantung.

"Dia kemudiannya menghubungi adik perempuannya sebelum kejadian dimaklumkan kepada kami," katanya pada kenyataan hari ini.

Menurut beliau, menurut si abang, adiknya itu tinggal bersamanya selepas kematian ibu bapa mereka.

Shafee berkata, lelaki terbabit sebelum ini turut mendapatkan rawatan di Hospital Bukit Mertajam (HBM).

"Hasil siasatan di lokasi, mangsa yang juga anak ketiga daripada empat beradik ditemui tergantung dalam bilik tidurnya, lehernya diikat dengan kain yang dicangkuk di siling.

"Kami turut menemui tangga di tepi katil lelaki terbabit. Tiada unsur jenayah dalam kejadian ini," katanya.

Mayat dibawa ke HBM untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mac 2021 @ 4:43 PM