ANGGOTA bomba terpaksa memecahkan pintu sebuah rumah sebelum menemui seorang lelaki yang tidak sedarkan diri di Taman Jambu Mawar, Bukit Mertajam. FOTO Ihsan JBPM
ANGGOTA bomba terpaksa memecahkan pintu sebuah rumah sebelum menemui seorang lelaki yang tidak sedarkan diri di Taman Jambu Mawar, Bukit Mertajam. FOTO Ihsan JBPM
Nur Izzati Mohamad

Bukit Mertajam: Perasaan risau seorang ibu selepas gagal menghubungi anak lelakinya terungkai apabila anaknya itu ditemukan meninggal dunia di ruang tamu sebuah rumah di Taman Jambu Mawar, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad, berkata polis menerima panggilan berhubung penemuan mayat lelaki warga emas berusia 68 tahun pada 9.45 malam daripada jiran mangsa.

Beliau berkata, apabila pihaknya ke lokasi untuk membuat siasatan, terdapat adik mangsa berusia 62 tahun di rumah itu.

"Hasil temu bual, adik mangsa memberitahu dia datang ke rumah abangnya selepas ibunya memberitahu risau apabila berkali-kali menelefon abangnya, tetapi panggilan tidak dijawab.

"Adik mangsa melihat melalui cermin sebelum ternampak abangnya terbaring di ruang tamu, namun tidak dapat masuk ke rumah memandangkan pintu berkunci," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Shafee berkata, adik mangsa meminta pertolongan jiran abangnya yang menghubungi bomba untuk membuka pintu.

Beliau berkata, sebaik pintu dibuka pemeriksaan petugas perubatan mendapati mangsa sudah meninggal dunia.

"Pemeriksaan lanjut ke atas mayat mangsa tidak menemui sebarang unsur jenayah dan adik mangsa memaklumkan abangnya yang tinggal seorang diri di rumah itu mempunyai penyakit jantung.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Bukit Mertajam (HBM) untuk proses bedah siasat dan mangsa didapati meninggal dunia akibat kanser pundi kencing dialaminya dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Mangsa sebelum itu ditemukan dalam keadaan duduk di atas lantai menghadap sebuah komputer riba dan tidak memberikan reaksi apabila namanya dipanggil.

Jiran terbabit kemudian menghubungi bomba pada 9.30 malam apabila mendapati pintu rumah itu berkunci.

Berita berkaitan

'Ditemukan mati depan komputer riba'

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 January 2021 @ 3:12 PM