JENAZAH Pengurus Jabatan Advokasi Pertubuhan IKRAM Malaysia, Nik Khatijah Nik Mud dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu Tumbuh, Kampung Raja, Jertih, di sini jam 10.30 malam tadi. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
JENAZAH Pengurus Jabatan Advokasi Pertubuhan IKRAM Malaysia, Nik Khatijah Nik Mud dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu Tumbuh, Kampung Raja, Jertih, di sini jam 10.30 malam tadi. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
Nurul Fatihah Sulaini


Jertih: Jenazah Pengurus Jabatan Advokasi Pertubuhan Ikram Malaysia Nik Khatijah Nik Mud yang ditemui mati dengan kesan jerut pada lehernya di sebuah rumah di Taman Bangi, Jalan Reko di Kajang pada 8 Mac lalu selamat dikebumikan di sini, malam tadi.

Mangsa yang berusia 32 tahun itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu Tumbuh, Kampung Raja di sini, pada 10.30 malam tadi.

Kakak mangsa yang juga anak ketiga dalam keluarga, Nik Hayati Nik Mud, 40, berkata, jenazah adiknya dibawa balik pada 3.30 petang selepas selesai solat jenazah di Masjid Jamek Kajang, Selangor.

"Jenazah tiba di tanah perkuburan pada 9.30 malam dan sekali lagi solat jenazah dilakukan untuk kali ketiga selepas dilaksanakan di hospital dan masjid pada sebelah siangnya.

"Pengebumiannya berjalan lancar dan ramai kenalan serta ahli keluarga hadir," katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Kampung Gong Bayor di sini, hari ini.

Berkongsi mengenai Allahyarhamah Nik Khatijah, Nik Hayati berkata, adiknya itu seorang yang amat komited dengan setiap tugasan dan kerja diamanahkan kepadanya.

"Kali terakhir dia pulang ke kampung ketika cuti Krismas tahun lalu selama seminggu dan keluarga kami sempat membuat kenduri tahlil arwah ahli keluarga kami yang meninggal dunia akibat kemalangan ke tempat kerja pada 2019.

"Walaupun jarang berjumpa tetapi kami sekeluarga sering berhubung menerusi aplikasi WhatsApp, sesekali dia kerap mencelah dalam perbualan di situ tetapi sepanjang hari Sabtu lalu dia tidak memberi sebarang respon dalam perbualan keluarga.

"Kami juga dimaklumkan arwah sepatutnya menghadiri satu mesyuarat di pejabatnya pada hari Ahad tetapi tidak hadir dan tidak dapat dihubungi," katanya.

Nik Hayati berkata, sebelum pemergiannya arwah sempat menghubungi orang tua mereka untuk memberi wang tambahan RM100 seorang untuk ayah dan ibu pada bulan ini.

"Memang menjadi rutin setiap bulan selepas menerima gaji, dia akan memberi duit belanja untuk kedua-dua orang tua kami.

"Tetapi bulan ini dia memberi duit tambahan meminta mereka membeli baju guna duit itu, abah sempat tanya baju apa...nak beli baju raya lambat lagi," katanya.

Dia berkata, mereka sekeluarga reda menerima pemergian arwah tetapi sedikit ralat dengan cara arwah diperlakukan sehingga menemui ajal.

"Mewakili keluarga, saya berharap kes adik saya akan diadili dengan seadilnya mengikut saluran dan peruntukan undang-undang.

"Semoga individu yang melakukan jenayah itu menerima hukuman setimpal atas perbuatannya," katanya.

[UPDATE] Suspek ditahan polis rakan sekerja Nik Khatijah

'Keluarga terkejut, sedih kejadian tragis wanita mati dijerut'

'Mangsa bunuh disahkan Pengurus Jabatan Advokasi Ikram'

'Wanita mati dijerut'

Siapa pandu kereta Nik Khatijah?

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mac 2021 @ 3:56 PM