LAPORAN portal berita Harian Metro, hari ini.
LAPORAN portal berita Harian Metro, hari ini.
Nor Azizah Mokhtar


Kuala Lumpur: Pertubuhan Ikram Malaysia bersedia memberi kerjasama penuh dengan polis berhubung siasatan kematian seorang kakitangannya dalam sebuah rumah di Taman Bangi, Jalan Reko, Kajang, hari ini.

Pejabat Setiausaha Agung Pertubuhan Ikram Malaysia dalam kenyataan, hari ini memaklumkan pihaknya sudah memberikan kerjasama diperlukan polis dan akan terus berbuat demikian bagi membantu siasatan.

"Ikram telah, sedang dan akan terus memberi kerjasama sepenuhnya dalam siasatan ini.

"Kebajikan keluarga dan waris almarhumah sedang diuruskan. Mohon kepada semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi bagi menghormati perasaan keluarga dan sahabat handainya," katanya.

Ikram dalam satu kenyataan berasingan di laman Facebook rasminya, hari ini turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dikenali sebagai Nik Khatijah Nik Mud yang bertugas sebagai Pengurus Jabatan Advokasi di pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu.

Menurut kenyataan itu, Allahyarhamah yang berusia 32 tahun adalah bekas pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang berkhidmat dengan Ibu Pejabat Ikram sejak 2013 sebagai eksekutif Jabatan Wanita sebelum dilantik sebagai Pengurus Jabatan Advokasi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan dalam kenyataan, hari ini berkata mayat mangsa ditemui dengan kesan jerutan pada leher dalam rumah sewanya selepas menerima aduan kejadian itu pada 9 pagi.

Katanya, pemeriksaan awal mendapati mangsa dipercayai meninggal dunia lebih 24 jam sebelum mayatnya ditemui.

Berita berkaitan

'Keluarga terkejut, sedih kejadian tragis wanita mati dijerut'

'Mangsa bunuh disahkan Pengurus Jabatan Advokasi Ikram'

'Wanita mati dijerut'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mac 2021 @ 11:51 PM