GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Omar Ahmad


Johor Bahru: Kerajaan disaran menambah baik aplikasi MySejahtera dengan memasukkan nombor giliran penerima vaksin Covid-19 yang sudah berdaftar.

Pengerusi Task Force Covid-19 MCA Johor, Michael Tay Chee Boon berkata, pihaknya menerima lebih 100 aduan menyatakan kebimbangan tiada respon daripada sudut pemberian nombor giliran selepas mendaftar bagi mendapatkan vaksin di MySejahtera.

Katanya, sememangnya pada fasa pertama, pemberian diberikan kepada petugas barisan hadapan termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau bukan KKM.

"Sistem ini perlu ditambah baik, orang ramai hanya mendaftar tanpa diberi nombor giliran dan lokasi bagi mendapatkan suntikan vaksin.

"Sebagai negara maju, pemberian nombor giliran ini perlu diwujudkan sebaik saja rakyat mendaftar di MySejahtera.

"Daripada sudut lain, ia sebenarnya memberi keyakinan kepada rakyat bahawa tiada potong giliran berlaku," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Michael Tay berkata, masyarakat menyambut baik pemberian vaksin kerana ia peluang cerah kepada ekonomi.

Malah, apabila selesai dua dos suntikan seperti yang dijadualkan, pergerakan rentas sempadan ke Singapura perlu diberikan perhatian.

"Saya dimaklumkan pekerja kita di Singapura juga sudah dilengkapi pemberian vaksin ini. Jadi apabila perbincangan selesai, mungkin ia satu peluang cerah melihat tambak kembali dibuka.

"Pada masa itu bermakna aliran ekonomi akan berjalan seperti sebelum pendemik Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mac 2021 @ 5:08 PM