Mohd Roji Kawi


Kuching: Upah lumayan yang ditawarkan menyebabkan seorang lelaki dan rakannya, seorang wanita sanggup mengambil risiko dengan menjadi penghantar dadah ke sempadan Malaysia-Indonesia.

Bagaimanapun, cubaan kedua-dua suepek berusia 35 dan 38 tahun itu untuk menjadi penghantar dadah sejauh 110 kilometer dari Kuching gagal apabila mereka ditahan dalam sekatan jalan raya di Kilometer 30 Jalan Serian-Tebedu, kira-kira jam 5 pagi, Jumaat lalu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, hasil pemeriksaan terhadap penumpang wanita terbabit menemukan sejumlah 0.73 gram methamphetamine.

"Pemeriksaan lanjut pada beg galas dalam kereta itu pula menemukan sejumlah 14,880 pil dipercayai pil ecstasy dengan jumlah keseluruhan dianggarkan bernilai RM267,940," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini, hari ini.

Aidi berkata, hasil siasatan lanjut, kedua-dua suspek mengaku menerima upah RM3,000 untuk menghantar dadah dari Kuching ke Tebedu, sebuah pekan kecil di sempadan Malaysia-Indonesia dan dadah itu dipercayai untuk diedarkan di Indonesia.

"Kedua-dua suspek mengaku ia adalah pertama kali mereka melakukan kerja sebagai penghantar dadah dan desakan hidup menyebabkan mereka tertarik dengan jumlah upah yang ditawarkan," katanya.

Katanya, kedua-dua suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12 (2) akta yang sama.

"Saringan awal air kencing juga mendapati kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine dan mereka turut disiasat mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Polis turut merampas kereta yang mereka gunakan serta wang tunai sebanyak RM500," katanya sambil memaklumkan kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan mereka direman selama tujuh hari bermula 5 Mac lalu untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mac 2021 @ 12:59 PM
Aidi (tengah) menunjukkan dadah bernilai RM267,940 yang dirampas dari dua suspek di Kilometer 30 Jalan Serian-Tebedu. FOTO Nadim Bokhari
Aidi (tengah) menunjukkan dadah bernilai RM267,940 yang dirampas dari dua suspek di Kilometer 30 Jalan Serian-Tebedu. FOTO Nadim Bokhari