Mohd Khidir Zakaria


Rembau: "Keberanian itu datang selepas saya melihat seorang ibu hampir tidak berdaya menyelamatkan anaknya," kata anggota polis, Sarjan Mat Shah Kasim, 57, yang menyelamatkan dua mangsa kebakaran di Kampung Seberang Batu Hampar, kelmarin.

Dalam kejadian kebakaran jam 6.40 petang itu, warga emas, Maimunah Mohd Shah, 81, cuba masuk ke dalam rumah sedang terbakar menerusi pintu dapur bagi menyelamatkan anaknya, Zaidi Zainuddin, 46, yang berstatus orang kurang upaya (OKU).

Mat Shah yang melihat kejadian itu menghalang warga emas terbabit sebelum nekad memasuki rumah terbabit dan berjaya menyelamatkan Zaidi.

Menurutnya, ketika itu, dia dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Berkat, Chembong, Batu 17, di sini.

"Saya dalam perjalanan balik selepas habis bertugas. Saya bersyukur pada Allah dalam keadaan api yang sedang marak, saya diberi kekuatan untuk membantu.

"Perkara ini tidak dirancang tapi inilah takdir Allah malah saya bersyukur tidak cedera namun amat bersedih kerana mangsa mendapat kecederaan," katanya yang bertugas di Cawangan Logistik Ibu Pejabat Polis (IPD) Rembau.

SARJAN Mat Shah Kasim. FOTO Mohd Khidir Zakaria
SARJAN Mat Shah Kasim. FOTO Mohd Khidir Zakaria

Menurutnya, mangsa melecur di beberapa bahagian badan dan dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban untuk menerima rawatan lanjut.

"Saya berkhidmat setahun lagi sebelum bersara wajib. Ini antara pengalaman menarik saya di hujung perkhidmatan," katanya.

Berita berkaitan

Cuba redah api selamat anak OKU

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mac 2021 @ 3:32 PM