Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Tiga sekeluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah pusaka didiami mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Pulau Belanga, di sini, hari ini.

Mangsa, Muhammad Razlan Azhar, 24, berkata sebelum kebakaran, dia dan anaknya, Nur Iman Rania yang berusia dua tahun sedang tidur, manakala isterinya, Norlida Mat, 43, yang juga orang kurang upaya (OKU) penglihatan baharu sahaja selesai melakukan kerja rumah.

Menurutnya, ketika kebakaran pada 11 pagi itu, isterinya terdengar bunyi letupan kecil dari atas bumbung serta berasa bahang kepanasan di muka dan segera mengejutkannya bersama anak.

"Anak saya tersedar dan menjerit 'api' menyebabkan saya terkejut dan terus bangun sambil memimpin isteri dan mendukung anak untuk menyelamatkan diri.

"Selepas membawa isteri dan anak ke tempat selamat, saya cuba berpatah balik untuk mengambil beg mengandungi dokumen penting, kad pengenalan serta barangan kemas, namun semuanya hangus terbakar disebabkan api terlalu besar," katanya.

Muhammad Razlan berkata, meskipun mereka sekeluarga tinggal sehelai sepinggang, dia bersyukur kerana terselamat daripada menjadi korban kebakaran.

Katanya, buat sementara waktu, mereka akan tinggal di rumah ibunya yang terletak berhampiran dengan rumah terbakar itu.

MUHAMMAD Razlan Azhar melihat sisa kebakaran di tapak rumahnya yang terbakar di Kampung Pulau Belanga. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
MUHAMMAD Razlan Azhar melihat sisa kebakaran di tapak rumahnya yang terbakar di Kampung Pulau Belanga. FOTO Hazira Ahmad Zaidi

Sementara itu, Komander Operasi, Rosli Muhammad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.04 pagi dan tiba di lokasi kebakaran lapan minit kemudian.

Katanya, 16 anggota bersama lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Chepa dan Kota Bharu dikerahkan ke lokasi kebakaran.

"Sebaik tiba di lokasi, didapati sebuah rumah sudah 95 peratus terbakar, namun kami berjaya mengawal api daripada merebak ke rumah ibu mangsa yang terletak bersebelahan.

"Api berjaya dikawal pada 11.27 pagi dan operasi tamat sepenuhnya 12.08 tengah hari. Punca kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 5:27 PM