Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima akuan bersumpah (SD) daripada Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien (kiri), yang menyatakan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) selepas sesi pemukiman anggota Jemaah Menteri sempena setahun kerajaan PN, hari ini.Turut menyerahkan SD itu Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon (kanan).Mereka ialah Ahli Parlimen pembangkang dari Parti Keadilan Rakyat (PKR). FOTO BERNAMA

Mohd Roji Kawi

Kuching: Ahli Parlimen Julau Larry Sng Wei Shien menegaskan beliau keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana mahu menyokong usaha Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin membantu rakyat dalam tempoh sukar ketika ini.

Beliau yang meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PKR Sarawak, Jumaat lalu, berkata, rakyat kini menderita kesan ekonomi yang tidak stabil, kehilangan pekerjaan dan harga komoditi rendah susulan penularan Covid-19.

Selain itu, katanya, ketidakstabilan politik sejak setahun lalu merosakkan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.

"Perdana Menteri melakukan apa yang perlu untuk membantu rakyat Malaysia dalam masa yang sukar ini dan saya percaya bahawa saya juga harus memainkan peranan untuk menyokongnya.

"Terlalu banyak masa disia-siakan, kita berpolitik dan bertengkar sesama sendiri sementara rakyat yang menderita," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Larry berkata, beliau nekad meletakkan jawatan selaku Pengerusi PKR Sarawak selepas berbincang dengan rakan-rakan di Parlimen Julau sejak beberapa hari lalu.

"Hasil perbincangan itu, kami membuat keputusan kolektif untuk saya mengumumkan pengunduran diri saya dari PKR dengan segera.

"Saya percaya bahawa cara terbaik untuk maju adalah mengetepikan politik buat masa ini supaya kita dapat membantu menstabilkan dan membina semula negara tercinta kita bersama," katanya.

Beliau mengakui tidak mampu mewakili rakyat di Parlimen Julau dengan berkesan kerana kekurangan dana pembangunan yang amat diperlukan.

"Dengan langkah ini (menyokong Perdana Menteri) saya yakin dapat menunaikan janji pilihan raya kepada pengundi saya.

"Saya memenangi pilihan raya 2018 sebagai seorang Bebas dan sekarang saya mengumumkan diri saya sebagai Ahli Parlimen Bebas yang mesra kerajaan," katanya.

Larry menyertai PKR selepas memenangi kerusi Parlimen Julau pada Pilihan Raya Umum ke-14 dan tahun lalu, beliau dilantik sebagai Pengerusi PKR Sarawak susulan peletakan jawatan Baru Bian yang keluar parti.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Februari 2021 @ 6:02 PM