LARRY Sng . FOTO arkib NSTP
LARRY Sng . FOTO arkib NSTP
Melvin Joni


Kuching: Larry Sng memutuskan melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak, bagi membolehkan parti itu dipimpin oleh pemimpin Dayak sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) tahun depan.

Menerusi satu kenyataan hari ini, beliau berkata, keputusannya itu demi kepentingan PKR Sarawak memandangkan majoriti penduduk Sarawak adalah orang Dayak.

"Majoriti penduduk Sarawak adalah orang Dayak namun kita dapati kawasan termiskin dan mundur di negeri ini berada di kawasan Dayak.

"Orang Dayak juga kurang mewakili kepimpinan tertinggi sama ada dalam parti pemerintah mahupun pembangkang, misalnya presiden dan pengerusi parti dari PBB, PDP, SUPP, PKR, DAP, PSB, PBK, Amanah semuanya orang Melayu atau Cina walaupun parti mereka banyak disokong orang Dayak.

"Saya percaya dengan membuat perubahan ini dalam kepimpinan PKR Sarawak, ia akan memberi kepercayaan kepada parti dalam memerangi ketidaksetaraan ekonomi dalam sektor swasta, ketidaksamaan pemilihan dan promosi dalam perkhidmatan awam dan tekan kami dalam menangani isu tanah hak adat Bumiputera (NCR)," katanya.

Justeru, Larry yang juga Ahli Parlimen Julau yakin parti itu akan mendapat penggantinya yang baik walaupun beliau dipilih mewakili kerusi Parlimen yang dominan Dayak dan mempunyai pengalaman dalam pentadbiran kerajaan Sarawak.

Sehubungan itu, beliau akan membincangkan keputusannya itu dengan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam beberapa hari akan datang berhubung peralihan dan pemilihan penggantinya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2020 @ 2:19 PM